Pengacara dan usahawan, Heliza Helmi, 31 telah banyak mendorong adiknya Hazwani Helmi, 19, menyertai kerja-kerja amal dan program motivasi di sekolah mahupun di universiti.

Menurutnya, Hazwani mempunyai personaliti yang bersahaja dan mudah mesra dengan semua orang dalam pelbagai acara.

“Adik saya masih lagi belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya kerap membawa dia ke majlis amal dan program motivasi.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu Hazwani lebih berani untuk berkomunikasi dan mendengar permasalahan orang lain.

“Sekiranya saya tidak mampu untuk lakukan atau tiada di dunia ini, bolehlah Hazwani menjadi pelapis saya untuk menguruskan semuanya.

“Saya yakin dia mampu buat lebih daripada apa yang saya lakukan sekarang ini,” kata Heliza ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Heliza lagi, selain bekerjasama dengan adiknya dalam pelbagai urusan kerja seperti perniagaan dan motivasi.

Hazwani juga seorang kreatif memberi idea terutama untuk mempromosikan program-program yang diamanakah oleh penganjur.

“Saya nampak potensi adik saya ini lebih ke depan berbanding dengan kemahiran yang saya ada.

“Hazwani ni walaupun masih muda, idea-idea yang diberikan untuk mempromosikan sesuatu program sangat bagus dan diterima pakai.

“Oleh sebab itulah, saya selalu bawa dia ke mana saja untuk membantu buat kerja-kerja amal agar bakat yang dia ada itu tidak disia-siakan.

“Saya sentiasa mendoakan terbaik buat Hazwani, dan saya harap dia akan berjaya dalam apa jua bidang yang dia ceburi, Insha Allah,” katanya.

Teks Oleh: Ishahrulddin Tahir