Konsert suku akhir GegarVaganza 3 (GV 3) berlangsung dengan meriah pada Ahad lalu.

Sebanyak lapan orang bintang menonjolkan kebolehan masing-masing dengan menyanyikan lagu tugasan untuk minggu yang bertemakan RockDut.

Bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), GV 3 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Ameng Spring yang membawakan lagu asal nyanyian Rhoma Irama, Gali Lobang Tutup Lobang muncul sebagai peserta yang mendapat kutipan markah tertinggi dari tiga juri profesional, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim selaku juri tetap serta Mamat Khalid selaku juri undangan.

Sementara itu, Zur Eda yang menyampaikan lagu Ah Rindu Lagi nyanyian asal Amelina menjadi bintang kelima yang gegarannya terhenti di pentas GV 3.

Astro Gempak menyenaraikan 10 perkara menarik yang terjadi di konsert suku akhir GV 3:

1. Imej ala ‘rock chic’ penaja program GV 3, Datuk Seri Vida (DSV) menepati tema mingguan konsert dan mencuri perhatian ramai. Ada netizen mengatakan penampilan DSV persis penyanyi rock Avril Lavigne.

2. Kehadiran barisan artis otai di konsert suku akhir GV 3 memeriahkan lagi Auditorium MBSA. Antara yang hadir memberi sokongan ialah Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman, Rahimah Rahim, ahli kumpulan XPDC dan bapa kepada Siti Sarah, Raissuddin Hamzah.

3. Sebelum Siti Sarah memulakan persembahan, penyokongnya yang dikenali sebagai Hearty Sarah melaungkan kata-kata semangat buat Sarah yang berbunyi, “Sarah juara GV 3,” tanpa henti sepanjang tiga minit iklan.

4. Minggu RockDut menyaksikan Papa J dan DSV berlumba-lumba menari sewaktu bintang GV 3 menyanyikan lagu dangdut. Aksi Papa J bersama riben gimrama sudah dilihat sama taraf dengan gimnas negara. Gitu!

5. Penyokong Nora juga tidak kurang hebatnya. Mereka melaungkan ayat Gomo Nora Gomo untuk memberikan sokongan buat Nora.

6. Dua jam sebelum konsert suku akhir bermula, Zarul Umbrella dikejarkan ke hospital kerana ‘abdominal colic’. Kesian Zarul, nasib baik sempat datang semula ke Auditorium dan mempersembahkan lagu tugasannya.

7. Kehadiran Ziana Zain 2 memberikan idea untuk Jihan dan Nabil mengusik Datuk Ramli MS. Sewaktu iklan, mereka menyuruh Ziana Zain 2 yang berada di bahagian atas Auditorium untuk bangun kerana Tok Ram mahu melihat Ziana Zain 2.

8. Kehadiran kumpulan Jinbara yang menyanyikan lagu Cinta Pantai Merdeka dan Farhana sebelum keputusan diumumkan menggamit memori penonton yang berada di Auditorium. Seluruh Auditorium menyanyi bersama Jinbara, dah macam pusat karaoke dah!

9. Penonton yang hadir saban minggu ke Auditorium MBSA boleh disifatkan sebagai penonton yang sangat sporting dan terbaik. Mereka sungguh bersemangat menyokong bintang GV 3 kegemaran masing-masing sepanjang waktu iklan sebelum segmen penyingkiran dilakukan.

10. Sewaktu nama Gmie diumumkan sebagai bintang GV 3 yang tersingkir, penonton di Auditorium nyata tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana Gmie sentiasa tampil persembahan terbaik saban minggu. Akhirnya, DSV menyelamatkan Gmie menggunakan kuasa imuniti.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu separuh akhir GV 3 bakal menyaksikan bintang GV 3 menyanyikan dua buah lagu secara duet dan solo. Tujuh bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @datoserivida