Pelakon Zain Saidin atau nama sebenar Mohamad Zain Mohd Saidin, 32, akan menyerahkan 10 peratus keuntungan jenama kasutnya Zapatos, kepada tabung Misi Bantuan Yemen.

Menurutnya, derma ini bukan daripada poketnya tetapi daripada pembeli dan secara automotik dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Saya dapat idea ini secara spontan, bagaimana saya nak tolong mangsa perang di Yemen.

“Selaku pemilik Zapatos saya rasa tak salah setiap pembelian kasut yang dibeli oleh pelanggan dan keuntungan yang saya peroleh didermakan kepada misi bantuan ini.

“Sebagai contoh, RM10 daripada harga kasut itu saya jadikan sebagai derma dan pada masa yang sama pembeli Zapatos turut mendapat pahala.

“Jadi membeli sambil menderma adalah cara saya nak bantu, saya harap ia mendapat sambutan daripada semua, InshaAllah,” kata Zain kepada Astro Gempak ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Dan Misi Kemanusiaan Peace for Yamen, baru-baru ini.

Tambah Zain lagi, dengan cara menghulurkan bantuan secara wang ringgit adalah cara terbaik untuk meredakan penderitaan mangsa perang di Yemen.

“Pendirian saya mudah, nak membantu kita kena hulurkan wang daripada kita hanya membantu secara kata-kata.

“Apabila dana yang disasarkan itu cukup maka sangat senang untuk misi ini menjalankan kerja amal mereka.

“Saya harap misi yang baik ini dapat dijalankan dengan segera dan mendapat kerjasama daripada semua pihak,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir