Penerbit filem Indonesia, Asun Mawardi menjadi pelakon dan pengarah dalam filem terbitannya sendiri, #66.

Menerusi filem bercorak aksi ini, Asun membawakan watak sebagai seorang pembunuh upahan yang menuntut dirinya menonjolkan kebolehan seni mempertahankan diri.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya membintangi filem terbitan sendiri. Filem ini menuntut saya banyak melakukan babak aksi dan perkara tersebut menjadi salah satu cabaran buat saya.

“Keputusan saya untuk membintangi filem ini adalah untuk melengkapkan profil sebagai anak seni. Sekurang-kurangnya, saya boleh menunjukkan filem lakonan saya ini kepada cucu-cucu saya nanti,” seloroh Asun kepada Astro Gempak.

Ditayangkan serentak di Indonesia dan Malaysia bermula 17 November lalu, Asun berharap agar filem ini mendapat sambutan orang ramai.

“Saya mempertaruhkan tema aksi dalam filem kerana saya yakin filem bercorak begini mempunyai ramai pengikut tersendiri. Filem #66 ini juga telah berjaya mendapat penghargaan beberapa festival filem luar negara dan saya berharap agar filem ini mendapat respon positif orang ramai, tak kira di Indonesia atau Malaysia,” katanya lagi.

Filem terbitan Creative Motion Pictures ini turut menampilkan Donita, Yayu AW Unru, Franki Darmawan, Erwin ST Bagindo, Ali Syehan, Fandy Christian, Djaitov Tigor, Hendra Louis, Joshua D Pandelaki dan Ricardo Silenzie.

Jangan lupa saksikan filem aksi Indonesia berjudul #66 yang ditayangkan bermula 17 November ini secara serentak di Malaysia dan Indonesia.

Teks oleh: Kamaruddin Razal