Malam kemuncak Anugerah Skrin 2016 (#ASK2016) secara rasminya telah pun berakhir dengan menyaksikan Redha dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

Manakala bagi kategori drama terbaik pula dimenangi oleh drama berjudul Fatin.

Majlis Anugerah Skrin 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang berlangsung pada Jumaat dimeriahkan dengan kehadiran artis popular seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Neelofa dan Fattah Amin.

Sepanjang acara berlangsung, pelbagai ragam dan gaya artis yang berlaku di auditorium tidak dapat dilihat di kaca televisyen.

Di sini Astro Gempak kongsikan kepada penonton dirumah corat-coret Anugerah Skrin 2016 antaranya:

1.#ASK2016 tidak semeriah tahun lalu, auditorium tidak berapa penuh, mungkin kerana lokasinya yang sedikit jauh.

2.Sebelum majlis bermula, pelakon dan pelawak Zizan Razak dilihat kelam kabut turun dan naik tangga untuk mencari tempat duduknya.

3.Sebelum ke tempat duduk, pelakon Saharul Ridzwan sempat berlari ke arah peminat dan mengambil ‘selfie’ bersama mereka. Berseri muka pengantin baru.

4. Pelakon Siti Elizad kelihatan kekok menari ketika menyampaikan lagu berjudul Untuk Mu dan GIG di samping penyanyi Indah Ruhailah serta Shiha.

Ramai yang tergelak kecil melihat aksi Elizad yang berusaha untuk memberikan persembahan terbaik. Bagaimanapun penonton memuji pelakon itu dan menganggap tarian kekoknya itu sangat comel.

5. Sewaktu iklan berlangsung di kaca TV, pihak produksi #ASK2016 sempat melakukan cabaran ‘Mannequin Challenge’ yang menjadi trend di negara barat sejak kebelakangan ini.

6. Pelakon Nabila Huda dan pengarah Michael Ang bagaimanapun agak sukar untuk duduk diam ketika cabaran tersebut berlangsung menyebabkan mereka berdua ‘ditegur’ pengacara dan membuatkan penoton ketawa.

7. Pelawak Ajak Shiro cuba menaikkan mood penonton dengan membuat lawak ketika iklan berlangsung.

8. Sebelum iklan tamat, pengacara Alif Satar sempat menghiburkan peminat dengan menyampaikan lagu berjudul Fly Me To The Moon dengan gaya bersahaja tanpa iringan muzik. Penonton? Hmm tak payah cakaplah ramai yang cair dengar suara merdu Alif.

9. Secara jujurnya, penonton banyak memuji nyanyian kumpulan Bocey ketika menyampaikan lagu Sudahku Tahu (Projektor Band) dan rata-ratanya terkejut ketika anggota kumpulan tersebut, Achey dan Abam mampu menyanyikan lagu bernada tinggi tersebut.

10. Neelofa dan Fattah Amin jadi tumpuan apabila mereka berdua dilihat begitu manja ketika berinteraksi antara satu sama lain.

Teks oleh: Mya Amri