Peserta Lawak solo, Aaron, menjelaskan bukan mudah untuk melakukan persembahan di atas pentas dalam bahasa Melayu.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Aw Teik Hong, berkata, dia harus melatih dirinya untuk bercakap dalam bahasa Melayu untuk memudahkannya membuat persembahan.

"Bercakap dalam Bahasa Melayu bukannya mudah kerana biasanya saya akan melakukan persembahan dalam bahasa Inggeris dan kadang-kadangnya dalam bahasa Cina.

"Tahun lepas baru saya mula belajar untuk membuat lawak menggunakan bahasa Melayu kerana saya ingin menjadi seorang pelawak yang boleh melawak dalam pelbagai bahasa.

"Walaupun perkara tersebut bukan mudah kerana setiap bangsa mempunyai daya tarikan untuk memahami sesuatu lawak itu adalah berbeza," katanya.

Tambah Aaron, kawan-kawannya yang berbangsa Melayu banyak membantu dia untuk memperbaiki mutu percakapan dan penggunaan bahasa.

Mereka juga banyak memperbetulkan penggunaan ayat yang dia gunakan supaya orang ramai mudah faham dengan apa yang hendak disampaikan.

"Kadang-kadang saya akan cuba untuk melakukan lawak dihadapan kawan-kawan terlebih dahulu, jadi mereka akan perbetulkan apa yang salah," jelasnya.

Lawak Solo disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134), pukul 10 malam.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi