Pelakon Nora Danish menerusi sebuah kenyataan media kepada Astro Gempak memberitahu, akan menyaman pihak yang menyebar fitnah terhadapnya, berkenaan isu cukai.

Memetik kenyataan media yang dihantar Nora pada pukul 9.40 malam Jumaat itu, temubualnya bersama akhbar Utusan Malaysia telah dimanipulasi beberapa organisasi media dan portal online.

“Pada 3 November 2016, saya telah ditemubual oleh Utusan Malaysia. Kenyataan yang telah saya beri dalam temubual tersebut telah disalah tafsir dan dimanipulasi oleh beberapa organisasi media dan portal online.

“Sesi temubual tersebut dan kenyataan-kenyataan saya telah diambil luar daripada konteks dan telah disensasikan oleh beberapa akhbar, blog dan pelbagai media secara amnya, termasuk dan tidak terhad kepada tajuk laporan seperti “Nora Danish Memohon Agar Artis Diberikan Pengecualian Cukai Untuk Kelihatan Cantik,” katanya.

Nora turut menyatakan rasa kesalnya kerana isu tersebut telah menimbulkan respon negatif daripada orang awam.

“Kenyataan-kenyataan, tajuk dan komen begini menunjukkan ia sudah diambilkira, dengan tujuan dan direka untuk menjejaskan reputasi saya oleh pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab.

“Ia juga sangat memalukan, mengelirukan dan palsu sehingga mendapat liputan luas media antarabangsa.

“Saya tidak pernah menyatakan perlunya pengecualian cukai kepada golongan artis. Saya Cuma memberi memberi komen tentang penolakan dibawah S.39 Akta Cukai Pendapatan 1967,” ujarnya.

Dia turut mendakwa, disebabkan kenyataannya yang diputar belit dan dimanipulasi, kehidupan peribadi, hubungan peribadi dengan pihak ketiga yang tiada kena mengena dengan isu tersebut serta perniagaannya telah menerima kesan kebencian, menimbulkan skandal dan menerima penghinaan dan menjejaskan kariernya.

“Disebabkan keadaan ini saya tiada pilihan selain melantik Tetuan David Gurupatham & Koay sebagai peguam saya bagi mengambil tindakan undang-undang serta merta kepada pihak yang telah menyebabkan fitnah sedemikian,” tegasnya.