Hampir dua tahun tidak membintangi sebarang filem, pelakon filem KL Gangster, Soffi Jikan menjadikan wangian sebagai ‘nyawa’ baru untuk dirinya.

Soffi atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan, 46, kini muncul dengan dua wangian yang diberi nama Rockstar dan Superstar.

“Sudah hampir dua tahun saya tidak membintangi sebarang filem. Tawaran berlakon tiada dan sepanjang dua tahun memang tidak ada orang memanggil saya berlakon.

“Jika ada pun filem-filem saya yang ditayangkan pada tahun ini, semuanya sudah lama menjalani penggambaran dan baru sahaja ditayangkan di pawagam. Tahun ini saya hanya terlibat dengan program Gempak Superstar yang bersiaran di Astro Ria.

“Namun begitu, saya tidak hanya duduk diam sahaja dan menjadikan medan bisnes sebagai nyawa baru saya. Bersama rakan kongsi, saya muncul dengan dua wangian, Rockstar dan Superstar.

“Rockstar merupakan wangian untuk lelaki manakala Superstar untuk wanita. Alhamdulillah, semenjak dilancarkan, wangian ini mendapat respon yang baik,” kata Soffi kepada Astro Gempak.

Tidak hanya sekadar mempertaruhkan namanya sebagai jenama, Soffi turut memastikan wangian yang dijual mencapai kualiti yang baik untuk menepati kepuasan pelanggan.

“Saya tidak berkompromi jika perkara berkaitan dengan kualiti. Saya menggunakan pati wangian dari Perancis dan Mesir kerana wangian tersebut menepati citarasa masakini dan baunya juga tahan lebih lama,” katanya yang baru sahaja muncul dengan filem Rock Bro.

Dalam pada itu, menerusi jenama wangiannya, Soffi turut membantu rakan pelakon yang turut membintangi filem Rock Bro, Norazmi Bahron yang menghidap penyakit radang selaput otak (meningitis).

“Sepanjang promosi filem Rock Bro, saya turun padang dan sudah menjual 2,000 botol wangian Rockstar dan Superstar. Saya menetapkan sebanyak RM1 daripada hasil jualan setiap botol untuk didermakan kepada Norazmi.

“Walaupun jumlahnya sedikit sahaja, saya berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban Norazmi,” katanya mengakhiri temubual.

Teks oleh: Kamaruddin Razal