Miss K mendapat kiriman e-mel dari seorang peminat yang mendakwa lagu kumpulan Khalifah, Hang Pi Mana seakan serupa dengan lagu Na Na Na, nyanyian kumpulan My Chemical Romance.

Tanpa berlengah, Miss K terus buka YouTube dan mendengar sendiri lagu Na Na Na. Tersedak Miss K apabila mendengarkan lagu Na Na Na kerana permulaan lagu tersebut sangat mirip dengan lagu Hang Pi Mana.

Alamak, memang betul-betul sama atau kebetulan sebenarnya ni? Selepas Miss K mendengar semula lagu Na Na Na berulang kali, ada beberapa bahagian yang serupa, terutamanya bahagian awal lagu tetapi tidaklah sama 100 peratus.

Apa yang Miss K tahu, tak salah kalau sesetengah lagu itu mengambil ‘sampling’ atau inspirasi daripada lagu-lagu yang telah sedia ada.

Miss K pun bukanlah pandai sangat bab-bab muzik ni tetapi menerusi penyelidikan dan pembacaan Miss K, sesuatu lagu itu tak boleh secara terang-terangan dikatakan sebagai lagu tiru atau plagiat.

Secara teknikal mengikut undang-undang muzik, meskipun sesebuah lagu itu kedengaran agak sama dari segi muziknya dengan lagu yang sedia ada, perkara tersebut masih perlu dinilai sebanyak empat tiang muzik atau nada.

Jika persamaan itu kurang daripada empat tiang muzik, lagu itu bukanlah lagu tiru atau plagiat.

Haa, itu antara apa yang Miss K tahu mengenai persamaan muzik di antara dua buah lagu. Namun begitu, Miss K serahkan perkara ini kepada pakar muzik untuk menilai.

Tak nak komen lebih-lebih, apa kata pembaca dengar sendiri kedua-dua lagu tersebut.

Miss K: Teringat kes lagu Waris, Bertingkek yang digugurkan daripada pencalonan AIM 20 pada tahun 2013 kerana dikatakan telah menciplak lagu Racks, nyanyian YC.

*Jika ada sebarang gossip atau cerita yang ingin disampaikan kepada Miss K, e-mel Miss K di [email protected] ya!