Badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia (MCM) mensasarkan kutipan dana sebanyak satu juta ringgit untuk membantu saudara Islam di Yemen yang menjadi mangsa peperangan.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata untuk menjayakan misi ini, peranan dan pengaruh selebriti tempatan amat dialu-alukan agar niat murni ini mendapat tempat dihati peminat-peminat mereka.

“Antara selebirti yang terlibat ialah Heliza Helmi, Afdlin Shauki, Adam Corrie dan Zain Saidin begitu komited untuk menjayakan misi bantuan ini.

“Ada selebriti yang ingin menyerahkan peratus keuntungan daripada hasil perniagaan ke tabung Peace for Yemen.

“Selain itu, selebriti terlibat juga akan menguar-uarkan misi ini menerusi IG mereka agar maklumat yang kami ingin sampaikan itu diterima secara meluas.

“Apa-apa pun, target kami hanya satu iaitu untuk membantu rakan-rakan Islam kita yang sedang mengalami kesusahan untuk meneruskan kehidupan seharian,” kata Zulkifli kepada portal Astro Gempak di Majlis Pelancaran Kempen Dan Misi Kemanusiaan Peace for Yamen di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Afdlin Shauki turut mengulas mengenai misi ini dan berharap sasaran yang diperlukan oleh MCM dapat dicapai.

“Apa yang saya boleh katakan ialah, dunia memang terdedah dengan kesengsaraan yang berlaku Di Syria dan Palestin.

“Tetapi apa yang berlaku di Yemen kurang mendapat liputan media serta dipandang sebelah mata oleh kuasa-kuasa besar.

“Jadi saya akan membantu sedaya yang boleh agar bantuan yang MCM ingin ketengah itu berjalan dengan lancar, Insha Allah,” katanya.

Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan anda boleh menghubungi Zakaria menerusi nombor 012-693 5938 atau Johari 016-997 8323.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir