Penyanyi Maya nafi merajuk dengan pihak Astro dan tidak akan menolak sekiranya diberi peluang untuk menyertai GegarVaganza musim hadapan.

"Jika ada rezeki saya mengapa tidak saya sertainya. Industri ini kecil sahaja, kita saling memerlukan.


"Lagipun hubungan saya dengan pihak Astro masih baik dan sehingga kini saya masih mendapat banyak tawaran yang melibatkan stesen tersebut," katanya ketika ditemui Astro pada Jumaat.

Selain itu, Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee, 40, memberitahu dia masih terus menyokong rakan-rakannya di GV3 dari jauh seperti yang dilakukan musim lalu.


"Saya tidak pernah merajuk kerana apa yang saya cakap sebelum ini mengenai GV3 pun hanyalah luahan rasa saya sahaja, malah tiada sedikit pun mahu memburukkan program tersebut.

"Walaupun saya tidak menghadirkan diri sebagai penonton dalam konsert itu tetapi saya tetap menontonnya di kaca TV serta menyokong rakan-rakan saya di dalam program itu.

"Bukan tidak mahu hadir sebagai tetamu di GV3 tetapi tahun ini jadual undangan nyayian saya agak penuh dan tidak mengizinkan saya untuk ke sana.

"Namun, saya sentiasa berinteraksi sebelum ni dengan Rem, dan yang lain-lain seperti Intan Sarafina , Siti Sarah, Zarul Umbrella , Zur Eda dan ramai lagi.

"Malah, sebagai rakan saya akan memberi pandangan saya mengenai persembahan mereka yang mungkin mereka boleh perbaiki di masa akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Maya bakal muncul dalam sebuah telefilem Jatuh Cinta Buta yang bakal disiarkan di Astro Ria.


Teks oleh: Syafiqah Jalal