Penyanyi dan komposer Asfan Shah, 31, nafi bersikap bangga diri apabila beberapa lagu ciptaannya popular dan diminati ramai.

Asfan berkata, tidak ada sebab untuk dia bersikap sedemikian dan terkilan apabila ada sesetengah pihak membesarkan perkara tersebut tanpa alasan yang kukuh.

“Saya memang lebih berminat untuk mencipta lagu bersifat komersial dan mudah dijual.

“Memang ada antara lagu-lagu saya menjadi hits dan popular di carta-carta radio tempatan tetapi bukan alasan untuk saya berbangga diri dan berlagak.

“Apa-apa pun itu semua rezeki, saya sendiri pun kadangkala tidak yakin dengan lagu saya boleh jual atau pun tidak.

“Jadi, apabila lagu saya terkenal dan menjadi seorang hidung tinggi, saya rasa ia tidak adil dan tidak masuk akal,” tegas Asfan yang ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Asfan lagi, dia umpama budak baru belajar dan masih banyak lagi selok belok industri muzik yang perlu dia ambil perhatian.

“Saya lihat persaingan untuk mencipta lagu semakin lama semakin sengit.

“Untuk kekal relevan dalam industri ini, itulah perkara yang saya rasa sangat susah dan perlu banyak belajar.

“Antara komposer yang saya minati ialah Ajai dan Edry, walaupun lagu yang mereka cipta sudah lama berkumandang di radio, tapi ia masih lagi segar dan terus diminati.

“Mereka juga antara idola saya untuk menjadi seorang komposer disegani dan dihormati oleh penggiat muzik,” katanya

Dalam perkembangan lain, Asfan kini sedang mempromosikan lagu terbarunya berjudul Kisah Cinta yang boleh didengar menerusi laman Youtube.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir