Revalina S Temat Tolak Tawaran Berlakon Kerana Kasihankan Anak

17 November 2016. 7.03 PM
117,356
Hiburan
Revalina S Temat Tolak Tawaran Berlakon Kerana Kasihankan Anak
Pelakon Indonesia, Revalina S Temat, 31, akui semakin memilih watak untuk berlakon dalam mana-mana filem dan sinetron kerana tidak sanggup berpisah lama dengan anak sulungnya, Rihga Sadiwasakti Rabbani.

Menurutnya, dia lebih rela berhabis masa bersama anak dan suami di rumah daripada membuang masa yang lama di lokasi penggambaran.

“Anak saya semakin membesar dan kini sudah masuk 10 bulan. Saya perlu memilih watak yang sesuai dan seiring jadual saya sebagai seorang ibu dan isteri.

“Kasihan anak saya nanti kalau ibunya tinggal lama-lama, Rihga mesti tercari-cari ke mana ibunya pergi.

“Jadi kalau ada tawaran berlakon, saya perlu pilih betul-betul agar tidak membebankan dan peranan daripada pembantu peribadi saya sangat penting untuk aturkan segalanya,” kata Revalina kepada portal Bintang.com.

Revalina yang juga bintang sinetron Bawang Merah Bawang Putih turut memberitahu sejak melahirkan anaknya pada Januari tahun ini, dia merasakan kehidupan sangat indah dan bahagia.

“Sebelum saya dikurniakan anak, saya rasa biasa-biasa sahaja. Setelah lahirnya Righa naluri keibuan saya semakin menebal.

“Righa pelengkap kehidupan keluarga kami dan saya ingin menjadi ibu yang terbaik buatnya,” katanya.

Revalina telah bernikah dengan suaminya, Rendy Aditya Gunawan pada Mac tahun lalu yang diadakan secara tertutup tanpa jemputan media. 

Olahan: Mohd Ishahrulddin Tahir
Sumber: Bintang.com

Artikel Berkaitan


Komen