Sarah Fazny Masih Belum Cukup Ilmu Dalam Karier Nyanyian

17 November 2016. 12.01 PM
19,330
Hiburan
Sarah Fazny Masih Belum Cukup Ilmu Dalam Karier Nyanyian
Penyanyi Sarah Fazny mengaku  masih belum cukup ilmu dalam bidang nyanyian.

Sarah atau Maishara Fazny Mahadzir, 21, turut mengakui namanya tidak begitu dikenali selepas tamat program Mentor Legend tahun lalu.

Bagaimanapun Sarah berkata, dia tidak akan berputus asa untuk menimba ilmu dan belajar  memperbaiki mutu nyanyiannya.

"Sebagai seorang penyanyi, saya perlu pastikan vokal sentiasa bagus setiap kali persembahan.

"Saya mahu dikenali kerana bakat dalam bidang ini dan berjaya sebagai penghibur," katanya kepada Astro Gempak.

Menurutnya lagi, seperti penyanyi lain, dia juga tidak mahu bakat yang dimiliki dipersiakan.

“Persaingan memang agak sengit sekarang, ramai penyanyi baru yang muncul menerusi pelbagai medium hiburan.

“Ada yang datang dari program realiti, media sosial seperti Youtube serta pelbagai platform yang seangkatan dengannya.

“Tapi, saya tidak akan mengalah dan akan terus berjuang mengejar impian sebagai penyanyi.

“Ini minat saya, kalau orang lain boleh buat kenapa saya tidak? Jadi tiada alasan untuk saya mudah berputus asa,” katanya.

Tambah Sarah lagi, dia menyanyi bukan kerana mahu mengejar populariti, tetapi mahu diterima secara terbuka oleh semua orang.

“Saya lihat penyanyi yang mempunyai nama sekarang ini, mereka pun ada latar belakang atau pun sejarah yang berbeza-beza untuk berjaya.

“Selagi saya berada dilandasan yang betul serta niat yang murni, Insha-Allah rezeki itu akan tiba, hanya masa akan menentukan segalanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarah kini sedang mempromosikan singlenya yang berjudul Tak Mungkin hasil ciptaan komposer Ammar Habir dan lirik ditulis oleh Iman Imran.



Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir

 

Artikel Berkaitan


Komen