Heliza Helmi Tidak Terfikir Cari Jodoh Di Palestin, Syria

15 November 2016. 3.48 PM
47,971
Hiburan
Heliza Helmi Tidak Terfikir Cari Jodoh Di Palestin, Syria
Pengacara Heliza Helmi atau nama sebenar Nur Heliza Helmi, 30, mengakui tidak terlintas untuk mencari jodoh di negara-negara yang kerap dilawatinya seperti Palestin dan Syria

Menurut Heliza, walaupun dia sering ke negara-negara tersebut untuk melakukan kerja-kerja amal, tetapi niatnya hanya untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa terjejas perang, bukan mencari jodoh.

“Tidak terlintas di fikiran saya mengenai soal jodoh daripada negara-negara yang sedang bergolak itu.

“Nawaitu saya hanya satu iaitu untuk menghulurkan bantuan daripada sumbangan rakyat kita yang turut bersimpati dengan nasib mereka di sana.

“Sekali lagi saya tegaskan, mengenai jodoh itu saya serah kepada Allah, saya hanya doa yang terbaik buat diri sendiri dan ke semua umat islam,” kata Heliza ditemui Astro Gempak dalam Majlis Misi Bantuan Peace4Yemen di ibu negara, baru-baru ini.

Tambah Heliza lagi, dia lebih gemar melakukan kerja-kerja amal bersama dengan badan NGO yang tidak henti-henti memberi sumbangan berbentuk wang tunai mahupun keperluan lain.

Disebabkan minatnya itu, banyak tawaran berlakon serta tawaran kerja-kerja seni lain terpaksa ditolak demi menjayakan misi kemanusiaannya.

“Saya bukan merajuk atau tak mahu sertai mana-mana kerja seni, tapi saya sibuk dengan hal-hal kerja-kerja kemanusiaan yang banyak saya lakukan.

“Program amal yang saya sertai itu bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara juga saya turut serta.

“Saya hulurkan bantuan setakat mana yang termampu, selebihnya adalah kehendak Allah yang permudahkan jalan yang saya pilih, Insha Allah,” katanya. 

Mengenai Misi Bantuan Peace4Yemen, sasaran satu juta ringgit diperlukan untuk menghantar bantuan keperluan asas kepada mangsa pelarian Yemen. 

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan boleh hubungi Zakaria menerusi talian 012-693 5938 atau Johari 016-997 8323.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan