GV 3: Ameng Mengaku Tertekan, Berharap Tersingkir 

15 November 2016. 2.48 PM
140,612
Hiburan
GV 3: Ameng Mengaku Tertekan, Berharap Tersingkir 
Bintang Gegar Vaganza 3 (GV3), Ameng mengakui tertekan sejak menyertai pertandingan realiti itu sehingga berharap dia tersingkir.

Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, berkata, komitmen dan jadualnya yang padat menyebabkan dia merasakan tidak dapat meneruskan perjuangan di GV 3.

Katanya lagi mungkin disebabkan faktor usia, dia tidak mampu untuk bekerja terlalu keras dan yakin akan melakukan kesilapan dalam persembahannya selepas ini.

“Sebelum ini saya biasa-biasa sahaja tetapi selepas menyertai GV 3 saya boleh merasakan kemampuan saya setakat mana.

“Saya bimbang akan terus melakukan kesalahan selepas ini sehingga saya berharap akan disingkirkan kerana tidak mampu menghadapi tekanan,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Bagaimanapun, vokalis kumpulan Spring ini memberitahu akan terus berjuang di pentas GV 3 selagi terus diberi kepercayaan oleh juri.

“Ya, saya pernah berharap untuk tersingkir, tetapi selepas dua minggu ini rezeki masih berpihak kepada saya walaupun melakukan kesilapan.

“Saya tidak akan sia-siakan peluang tersebut dan akan terus menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin,” ujarnya yang akan menyanyikan lagu Salleh Yaacob, Gali Lubang Tutup Lubang minggu ini.

Mengulas mengenai persembahannya yang tidak sebaik diharapkan sehingga terlupa lirik selama dua minggu berturut-turut Ameng memberitahu ia mungkin disebabkan sikap tidak seriusnya.

“Sebelum ini saya tak pernah ada masalah lupa lirik ketika menyanyikan lagu sendiri, tetapi bila diberikan lagu orang lain, saya tidak serius.

“Saya juga menjangkakan akan tersingkir pada minggu ini selepas ditegur oleh ketua juri, Datuk Ramli MS, tetapi saya terkejut apabila nama Shidee yang diumumkan,” katanya.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu keenam GV 3 bakal membawa tema RockDut dan lapan bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.

Teks oleh: Hafiza Kamaruddin 

Artikel Berkaitan


Komen