Peminat Minta Aepul dan Leez Rosli Hasil Lagu Duet

15 November 2016. 11.47 AM
83,369
Hiburan
Peminat Minta Aepul dan Leez Rosli Hasil Lagu Duet
Vokalis Drama Band Aepul Roza, 28, akui terharu apabila peminat memintanya untuk menghasilkan lagu duet bersama isteri, Leez Rosli, 29.

Menurutnya, peminat mahu melihat keserasian dia dan isteri menerusi lagu.

Aepul berkata, perancangan tersebut sudah lama difikirkan namun masih tidak boleh diketengahkan atas sebab-sebab tertentu.

“Ramai peminat yang bertanya bila nak buat lagu duet bersama Leez dan ada juga yang kata rindu nak tengok Leez menyanyi.

“Tambah-tambah lagi Leez adalah bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-empat dan dia mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

“Dari situ mereka ingin lihat Leez menyanyi semula bersama saya, Insha-Allah, saya akan ada lagu duet dengan Leez tapi bukan sekarang tetapi mungkin selepas anak kami dah besar.

“Sesuai masanya nanti, saya akan umumkan kepada semua terutama kepada peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan,” kata Aepul kepada Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Aepul lagi, dia dan Leez kerap kali menyanyi bersama-sama atas permintaan penganjur yang mahukan mereka membuat persembahan.

Bagi Aepul ia satu pengalaman yang cukup baik buat Leez agar bakat nyanyian tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Banyak kali saya dan Leez menyanyi dalam apa jua genre lagu untuk memenuhi undangan acara rasmi dan majlis-majlis korporat.

“Secara jujurnya saya tak pernah halang Leez untuk menyanyi cuma masa saja yang belum mengizinkan.

“Apa-apa pun saya seronok nyanyi dengan dia dan impian untuk hasilkan lagu duet tercapai,” akhirinya. 

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan