Lagu Mu, Cubaan Single Melayu Pertama Alvin Chong

10 November 2016. 10.58 PM
27,415
Hiburan
Lagu Mu, Cubaan Single Melayu Pertama Alvin Chong

Pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot, Alvin Chong akui sudah tiba masanya untuk dia cuba meneroka pasaran Melayu.

Menurut Alvin, dia ingin mencabar kemampuan dirinya menerus single bahasa Melayu pertama berjudul Lagu Ku.

“Sebelum berlakon, saya sebenarnya dilahirkan menerusi program realiti nyanyian iaitu Astro Star Quest (ASQ) pada tahun 2009.

“Sejak tamat ASQ saya mula aktif sebagai penyanyi dan pada tahun 2011 saya tampil dengan single Mandarin pertama, The Days Without You.

“Selepas itu saya juga turut mencuba bidang lakonan termasuklah penampilan istimewa menerusi sebuah filem Hong Kong bertajuk Mrs. K.

“Setelah sekian lama berada dalam pasaran Cina, rasanya tidak salah untuk saya cuba terokai pasaran Melayu pula.

"Saya juga merasakan jarang melihat kehadiran artis berbangsa cina menerusi pasaran tersebut sebab itu saya ingin cuba.


“Single ini merupakan ciptaan Omar K dan ini percubaan pertama saya menyanyikan lagu bahasa Melayu.

“Tak dinafikan, pada mulanya memang agak sukar dari segi sebutan namun setelah beberapa kali berlatih, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Mengulas mengenai kerjaya lakonannya, Alvin menyatakan rasa berbesar hati kerana diberi peluang untuk berlakon dalam drama Melayu.

“Selain single tersebut, saya juga sudah mula berlakon untuk drama Melayu. Terima kasih kepada pengarah, Michael Ang kerana percaya pada saya.

“Saya rasa bersyukur kerana lakonan saya mendapat reaksi positif. Waktu mula terima watak Johan saya rasa agak gementar.

“Risau juga kalau-kalau sebutan saya tidak jelas tapi dengan bantuan Fattah Amin dan Neelofa, saya dapat membawakan watak saya dengan baik,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri


Artikel Berkaitan


Komen