Baik Emma mahu pun Chacha serta Yaya Maembong, ketiga-tiga adik-beradik ini pernah mencetuskan kontroversi yang penuh sensasi serta tidak dijangka sama-sekali.

Sama ada tentang gosip perlakuan liar, tentang soal cinta, soal perkahwinan, mahu pun isu peribadi yang mengaitkan mereka dengan ahli keluarga, apa yang nyata segala kontroversi tersebut telah berjaya menimbulkan rasa ingin tahu masyarakat terhadap keluarga Maembong ini secara lebih dekat serta mendalam lagi.

Tidak hairanlah mengapa pengaruh adik-beradik Maembong ini agak besar terutama menerusi TV dan media dan apa saja yang mereka muatnaik di dalam laman sosial media mereka, sering saja diikuti oleh pengikut mereka.

Malah, kisah mereka adik-beradik juga mencatatkan antara carian yang tertinggi di beberapa laman web utama.

Disebabkan populariti yang diraih mereka, Astro Gempak mendapat perkhabaran bahawa sebuah stesen televisten telah berminat menyatukan kisah keluarga mereka dalam sebuah program realiti yang tajuknya masih lagi dirahsiakan.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Emma, Chacha dan Yaya akan disatukan di dalam sebuah rumah sedangkan sebelum ini, masing-masing telah pun menetap di kediaman yang berbeza.

Namun, tidak dapat dipastikan mengapa mereka ditempatkan di dalam rumah tersebut dan apa yang akan dilakukan oleh ketiga-tiga beradik di dalam rumah itu juga, ianya masih lagi kabur-kabur.

Namun, menempatkan mereka di rumah yang sama mampu mencetuskan keadaan yang ribut dan huru-hara, lebih-lebih lagi bila ada di antara mereka yang tidak sependapat dalam hal-hal yang tertentu.

Yang pastinya, Astro Gempak akan cuba mengorek seberapa banyak maklumat tentang program realiti ini untuk dikongsi bersama pembaca semua.