Mamat Khalid Tidak Akan Sambung Kisah Rimba Bara

3 November 2016. 5.07 PM
41,035
Hiburan
Mamat Khalid Tidak Akan Sambung Kisah Rimba Bara

Pengarah filem Mamat Khalid mengakui tidak akan menyambung kisah Rimba Bara kerana jalan ceritanya sudah ditamatkan dalam Rock Bro walaupun ia mendapat sambutan hangat.

Mamat berkata, Rock Bro merupakan episod terakhir dan tidak merancang untuk menyambung trilogi filem ini.

“Tidak dinafikan ramai pengikut dan peminat trilogi ini mahu saya menyambung  perjalanan kisah hidup Rimba Bara.

“Tetapi bagi saya, cukuplah perjalanan mereka setakat ini dan jika peminat-peminat mahu tahu pengakhiran kisah kumpulan Rimba Bara mereka perlu tonton filem ini,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Mengulas mengenai kutipan filem Rock Bro mencecah RM1.5 juta dalam masa lima hari tayangan, Mamat menyifatkan pengikut trilogi naskhah itu masih ramai.

Mamat berkata, kutipan memberangsangkan filem itu setakat ini disebabkan ia kesinambungan terakhir daripada dua naskhah terdahulu iaitu Rock (2005) dan Rock Oo (2013).

"Ia juga bukti filem ini memang menjadi penantian peminat setia yang mengikuti dua siri terdahulu sebelum ini.

"Lebih menggembirakan apabila jumlah pawagam untuk tayangan filem ini ditambah, iaitu daripada 90 kepada 103 panggung. Sokongan sebegitu sudah cukup untuk membuat kami semua berbesar hati," katanya.

Dalam pada itu, Mamat berkata, dia tidak menyasarkan kutipan tertentu untuk Rock Bro kerana baginya kutipan RM1.5 juta tersebut sudah menjadi bonus kepadanya.

"Kejayaan awal Rock Bro dicapai apabila pihak pawagam meminta ia ditayangkan lebih awal daripada tarikh asalnya, iaitu 27 Oktober lalu.

Ini kerana kata Mamat, apa yang paling penting dia sudah memberikan terbaik untuk filem berkenaan dan menyerahkan ia kepada penonton membuat penilaian.

"Tentang kutipan susah hendak dijangka tetapi sebagai pengarah saya tidak meletakkan sasaran tertentu kerana apa yang paling penting penonton menyukainya.

"Saya percaya jika sesebuah filem itu bagus mesti ia akan tersebar dengan cepat dan akan lebih ramai datang menonton," katanya.

Filem hasil usaha sama Grand Brilliance Sdn Bhd dengan Enjit Semut Sdn Bhd itu dibintangi Khir Rahman, Amy Jueliet, Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Norazmi Bahron, Kamarool Yusof, Shuib, Sharwani Hamad, Datuk Hattan, Esma Daniel dan Jihan Muse.


Artikel Berkaitan


Komen