Buddy Valastro Kagum Dengan Keindahan Kuala Lumpur

3 November 2016. 5.41 PM
43,597
Gaya Hidup
Buddy Valastro Kagum Dengan Keindahan Kuala Lumpur

Chef selebriti Buddy Valastro 39, akui teruja dengan keindahan landskap yang menghijau di Kuala Lumpur.

Selain itu, Buddy juga sukakan cuaca di negara ini yang tidak terlalu sejuk dan panas serta berpendapat ia sangat sesuai untuk dijadikan lokasi percutian dan riadah bersama keluarga.

“Saya sangat teruja dan terkejut, Kuala Lumpur sebuah bandar yang cantik terutama susunan landskap yang menghijau.

“Malah masyarakatnya juga sangat sopan santun dan menghormati antara satu lain menyebabkan saya sangat senang dengan mereka.

“Saya pun tidak percaya, ramai yang minat menonton rancangan Cake Bos di sini. Ia merupakan satu penghormatan yang terbesar buat karier, keluarga dan krew produksi yang menjayakan rancangan ini,” kata Buddy ditemui Astro Gempak di Pusat Penyiaran Asia Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Tambah Buddy lagi, selain bandar yang cantik, istimewanya Malaysia ialah kaya dengan makanan yang sedap dan enak.

Pertama kali mencuba nasi lemak, dia terpesona dengan rasanya dan bersetuju ia menjadi makanan popular masyarakat tempatan serta pelancong asing.

“Apabila saya diperkenalkan nasi lemak dan mencubanya untuk pertama kali, rasanya memang sungguh sedap.

“Lemak santan bersama sambal tumis itu memang unik dan sekiranya ia dijual di Amerika Syarikat, saya pasti ramai yang membelinya.

“Malaysia memang sebuah destinasi makanan yang sangat bernilai dan sangat rugi kalau kita tidak mencubanya,” ujarnya teruja.

Kehadiran Buddy ke Malaysia bertujuan untuk mempromosikan rancangan Cake Bos serta sesi ramah mesra bersama peminat.

Cake Bos telah bersiaran sebanyak 8 musim yang disiarkan setiap hari Rabu jam 9 malam hanya di Astro TLC (707). 


Teks Oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 






Artikel Berkaitan


Komen