Fazura Tak Sangka Ahmad Dhani Mahu Gubah Lagu Untuknya

3 November 2016. 10.26 PM
25,202
Hiburan
Fazura Tak Sangka Ahmad Dhani Mahu Gubah Lagu Untuknya
Pelakon dan penyanyi, Fazura akui agak terkejut dan teruja apabila diberitahu komposer terkenal Indonesia iaitu Ahmad Dhani bakal menggubah lagu untuknya.

Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 33, berkata lagu yang digubah itu bakal dimuatkan dalam album terbarunya yang dijangka dikeluarkan pada awal tahun hadapan.

"Saya terkejut dan gembira apabila diberitahu pihak pengurusan yang Ahmad Dhani bakal gubah lagu untuk saya dalam album terbaru nanti.

"Saya tahu bukan mudah untuk berkolaborasi dengan komposer terkenal sepertinya tetapi semua ini tidak akan terjadi jika bukan dengan izin Allah.

"Lebih menggembirakan saya lagi apabila saya bakal berkolaborasi dengan komposer terkenal lain juga seperti Omar K, Estrange dan ramai lagi," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui di Malaysia Fashion Week 2016 yang berlangsung di Menara Matrade petang tadi.

Fazura yang memilih genre Balada dan Pop untuk album terbarunya memberitahu bagaimana pun dia tidak mahu mengulas lanjut mengenainya kerana menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan.

"Saya tahu kemampuan dan forte saya dalam nyanyian, jadi untuk album ini saya teruskan dengan konsep atau genre yang sama seperti sebelum ini iaitu balada dan pop.

"Selebihnya saya tidak mahu mengulas lanjut lagi kerana saya serahkan semua kepada pihak pengurusan untuk mengumkannya sendiri," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang popular dengan lagu Sayangi Dirimu itu bakal menjalani sebuah filem di Indonesia pada bulan hadapan.


Teks oleh: Syafiqah Jalal





Artikel Berkaitan


Komen