Teater Muzikal Mok Cun D'Walei yang sedang dipentaskan di pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya merupakan sebuah teater yang menghiburkan.

Premis Mak Cun yang diangkat buat kali kedua di pentas teater mengambil pendekatan berbeza berbanding pementasan sebelum ini.

Teater ini mengisahkan mengenai kesinambungan kisah Mak Cun yang ingin mengembangkan bisnes rempah ratus hingga sanggup mengembara ke negara India.

Dalam humor yang disampaikan oleh Mak Cun, Erma Fatima sebagai pengarah sempat menyelitkan beberapa isu yang relevan dengan keadaan semasa seperti kenaikan harga minyak, isu kurangnya kesedaran orang ramai tentang pendaftaran sebagai pengundi, masa depan perniagaan industri kecil sederhana dan banyak lagi.

Biarpun disampaikan dalam cara satira, Erma secara tidak sengaja menyuntik elemen tersebut untuk memberikan kesedaran terhadap penonton.

Menampilkan Erma Fatima selaku tunjang utama, Datin Seri Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Fathia Latiff, Nadia Brian dan Abam, teater ini turut membawakan penampilan sulung Amy Search di pentas teater.

Selain itu, Erma turut menampilkan seorang pelakon kacak yang diterbangkan khas dari Pakistan, Saim Ali yang membawakan watak sebagai Rahul.

Jalan cerita bermula agak perlahan tetapi banyak diselamatkan dengan lakonan mencuit hati Umie Aida.

Pujian harus diberikan terhadap pendatang baru, Nadia Brian yang sangat menyerlah lakonannya. Biarpun hanya muncul dalam satu babak sahaja, emosi dan pembawaan watak Nadia amat meninggalkan bekas di hati penonton.

Teater Muzikal Mak Cun D'Walei akan dipentaskan sehingga 13 November depan. Dapatkan tiket teater ini pada harga RM36, RM76, RM86, RM106, RM156 dan RM256 menerusi laman web www.airasiaredtix.com.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Foto: Instagram @umieaida9 @fazlizaionor