Penyanyi rock popular, Amy Search gementar beraksi di pentas teater muzikal Mak Cun D’ Walei yang sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Ini merupakan pengalaman sulung saya berlakon di pentas teater. Pengalaman ini membuatkan saya gementar dan saya rasa seperti lemah lutut.

“Sewaktu sesi latihan, rasa gementar itu tidak dirasakan. Apabila naik sahaja ke pentas sewaktu sesi pementasan sebenar, saya mula rasakan debaran itu,” kata Amy kepada Astro Gempak.

Pernah berlakon beberapa buah filem sebelum ini, penyanyi lagu Kerja Gila itu mengakui pengalaman berlakon filem dan teater sangat berbeza.

“Sebelum ini, saya pernah berlakon filem. Namun begitu, pengalaman terlibat dengan filem dan teater tidak sama. Jika terdapat kesalahan ketika berlakon filem, penggambaran boleh dihentikan dan dimulakan sekali lagi.

“Perkara tersebut pula tidak boleh digunakan dalam teater kerana semuanya berlangsung pada masa yang sama dan ramai penonton sedang melihat pelakon beraksi di atas pentas. Saya berharap agar selepas ini semuanya dipermudahkan sehingga ke hari akhir pementasan,” katanya lagi.

Selain Amy, teater ini menampilkan Erma Fatima selaku tunjang utama, Datin Seri Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Fathia Latiff, Nadia Brian dan Abam.

Selain itu, teater ini turut menampilkan seorang pelakon kacak yang diterbangkan khas dari Pakistan, Saim Ali yang membawakan watak sebagai Rahul.

Teater Muzikal Mak Cun D'Walei akan dipentaskan sehingga 13 November depan. Dapatkan tiket teater ini pada harga RM36, RM76, RM86, RM106, RM156 dan RM256 menerusi laman web www.airasiaredtix.com.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Foto: Instagram @umieaida9 @fazlizaionor