Penyanyi Ziana Zain mengakui tidak minum minuman berais untuk menjaga vokalnya.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 48, berkata, dia tidak membiasakan dirinya untuk mengambil minuman berais meskipun berada di tempat yang panas.

"Saya memang elakkan ais sejak dahulu lagi kerana ingin menjaga kesihatan dan vokal ketika melakukan persembahan.

"Kalau dalam terlampau haus sangat, saya akan buang air batu dalam minuman saya dan minum airnya sahaja," katanya kepada Astro Gempak.

Ziana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Istana Budaya pada petang Khamis.

Selain Ziana, konsert itu nanti turut menampilkan Jaclyn Victor dan Azlan The Typewriter.

Konsert High Note 2016 bakal berlangsung pada 25 hingga 27 November di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kata Ziana, dia berharap konsert tersebut akan dapat mengubati kerinduan peminat yang menantikan kemunculan satu persembahan berskala besar daripadanya.

"Konsert itu nanti akan berlangsung selama dua jam dan saya akan menyampaikan 10 buah lagu disamping beberapa kejutan istimewa untuk yang hadir nanti," katanya.

Konsert High Note 2016 turut mendapat sentuhan pengarah muzik Rudi Mohammad yang turut melakukan penggubahan semula lagu yang bakal dipersembahkan.

Tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan dijual pada harga serendah RM142 sehingga RM506.

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi www.ticketpro.com.my atau sebarang pertanyaan dan tajaan boleh menghibungi talian 016-4444937.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi