Walaupun cerita putus cintanya dan pelakon Raja Afiq menjadi kecaman netizen, hos Serambi Pencetus Ummah musim keempat PU4, Anis Al Idrus, 28, mengambil pendekatan untuk berdiam dan bersikap positif.

Anis atau nama penuhnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak membalas sebarang komen ditinggalkan netizen sebaliknya lebih selesa berdiam kerana mahu memberikan fokus terhadap tugasnya sebagai pengacara bersama PU4.

“Saya tidak mahu mencampuradukkan kerjaya dengan masalah peribadi, lebih saya fokus dengan tugas saya di Serambi PU4.

“Saya sesekali tidak akan membenarkan kontroversi perpisahan saya dengan bekas kekasih menggangu kerja saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain Anis, turut terlibat dalam program realiti keagamaan itu ialah PU Azman dan Faizal Ismail yang bertindak sebagai pengacara Mimbar PU.

Mengulas mengenai kutukan yang dilemparkan kepadanya, Anis berkata dia tidak mampu untuk menghentikan netizen dari terus-menerus mengecamnya.

“Saya profesional ketika bekerja dan saya anggap ini adalah dugaan kecil sebagai anak seni,” katanya.

Dalam pada itu Anis berkata, dia seronok menjalankan tugas sebagai hos Serambi PU4 kerana ia program tersebut lebih santai.

“Saya seronok mengendalikan Serambi PU4 kerana ia agak santai dan bersesuaian dengan konsep PU4 yang mahu menarik lebih ramai penonton dari generasi muda,” katanya.

Serambi PU4 bersiaran setiap Selasa dan Rabu bermula 9 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan Maya HD (saluran 135).

PU 4 turut menampilkan Datuk Ustaz Badli Shah Alaudin sebagai Mudir, Fauziah Nawi selaku Guru Persembahan dan dua juri tetap iaitu pengacara popular Fara Fauzana dan penceramah bebas Dr. Maza.

Format pemarkahan masih dikekalkan dengan 70% dari tangan juri dan 30% menerusi SMS penonton.

Mimbar pencetus Ummah disiarkan secara langsung dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, setiap hari Khamis pukul 9 malam.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin