Chef selebriti, Ili Sulaiman memilih konsep terbuka untuk restorannya kerana mahu menonjolkan bakat memasak dimiliki pekerjanya.

Ili ketika ditemui Astro Gempak berkata, di Restoran Agak-Agak, pelanggan akan dapat menikmati juadah sambal melihat sendiri chef memasak di depan mata mereka.

“Saya memang suka konsep terbuka kerana ia adalah satu penghargaan buat chef untuk menonjolkan bakat memasak kepada orang ramai.

“Kebanyakan restoran bahagian memasak selalunya diletakkan di bahagian belakang, tetapi di Agak-Agak saya mahu Chef diletakkan di hadapan dan dikenali.

“Pada masa sama, pelanggan boleh menimba pengalaman baru dan boleh mengetahui secara dekat karakter chef kami serta cara masakannya,” katanya.

Ili ditemui Astro Gempak ketika Majlis Pelancaran Program Masakan By The Sea with Ili di Cooking House Bangsar baru-baru ini.

Tambah Ili lagi, juadah yang di ketengahkan di Agak-Agak lebih kepada makanan fusion iaitu gabungan menu dari timur dan barat.

Malah Agak-Agak juga turut menjadi tempat latihan chef-chef baru dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan mahupun luar negara.

“Kami memang mengalu-alukan pelajar dari bidang kulinari dan masakan untuk bekerja dengan kami.

“Di situ mereka dapat belajar untuk mencipta menu-menu baru agar berbeza dengan makanan yang terdapat di pasaran tempatan.

“Apa yang saya harapkan, Agak-Agak dapat memenuhi citarasa pelanggan yang inginkan kelainan serta sesuatu yang baru dalam industri kulinari,” ujarnya.

Nama Ili Sulaiman mula dikenali menerusi program Dari Mangkuk Tingkat Ili di Astro Maya HD dan progam masakan digital AFC Home Cooked Malaysia.

Dia juga merupakan bekas penuntut Queen Mary University of London dalam bidang perniagaan namun memilih industri masakan sebagai kerjayanya.

Teks Oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir