Peserta Lawak solo, KC Nazari, mengakui, menjadi Doktor Cinta lebih mudah berbanding melakukan persembahan di atas pentas untuk menghiburkan orang ramai.

Minat terhadap komunikasi telah menyebabkan dia telah mencabar dirinya sendiri untuk memasuki pertandingan di dalam rancangan Lawak Solo.

"Saya punya minat adalah komunikasi jadi saya telah mencabar diri ini untuk memasuki bidang komedi kerana ia merupakan salah satu cabang dalam bidang komunikasi.

"Sebenarnya menjadi Doktor Cinta adalah lebih mudah daripada mencari bahan untuk membuat lawak di atas pentas.

"Kerana nak mencari bahan untuk melawak bukanya mudah dan itu merupakan kelemahan diri jadi saya harus belajar lagi dalam mencari bahan untuk membuat lawak," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah KC, dia mengelarkan dirinya sebagai Doktor Cinta kerana dia merupakan seorang pengajar dalam memperbaiki mutu 'dating life' seseorang.

Pada malam itu, penyanyi Siti Nordiana telah dijemput sebagai juri jemputan bergandingan bersama dua orang juri tetap iaitu Datuk Ac Mizal dan Saiful Apek.

Lawak Solo disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134), pukul 10 malam.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi