Ayda Jebat Selesa Bergandingan Dengan Sharnaaz Ahmad

7 November 2016. 1.27 PM
57,817
Hiburan
Ayda Jebat Selesa Bergandingan Dengan Sharnaaz Ahmad

Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat mengakui dirinya senang berkolaborasi dan selesa bergandingan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

Beraksi sebagai hero dan heroin dalam drama bersiri terbaru yang bertajuk Awak Sangat Nakal, Ayda tidak pernah merasakan Sharnaaz sebagai seorang jejaka yang garang.

“Sharnaaz sudah saya anggap seperti abang saya. Dia merupakan seorang pelakon yang sangat profesional. Senang untuk saya berlakon dengan Sharnaaz.

“Dia juga merupakan pendengar yang sangat baik dan sangat bertoleransi. Saya tak pernah rasa dia seorang yang garang kerana dia sangat baik dengan saya dan orang lain di set penggambaran,” kata Ayda kepada Astro Gempak.

Memegang watak Erine Johanna, Ayda diberikan karakter seorang gadis yang gemar mengusik seorang guru yang bernama Johan Rizqin, lakonan Sharnaaz.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Pencuri Hati ini turut mendedahkan cabaran untuk menjayakan drama bersiri 16 episod ini.

“Saya sudah biasa membawakan watak nakal tetapi Sharnaaz pula jarang membawakan watak yang baik. Setiap kali saya mengusik Sharnaaz, dia harus menahan untuk tidak ketawa. Kadang-kadang terlepas juga gelak.

“Drama bersiri ini juga sebenarnya tidak berkisarkan mengenai cinta sesame kekasih sahaja. Awak Sangat Nakal turut mengangkat kisah kekeluargaan dan saya berharap agar drama bersiri ini dapat diterima orang ramai,” katanya lagi.

Selain Ayda dan Sharnaaz, drama bersiri ini turut menampilkan Hefny Sahad, Ika Nabella, Datin Fadilah Mansor, Aleza Shadan dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri adaptasi novel karya Syamnuriezmil ini bermula malam ini (7 November), Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #AwakSangatNakal untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen