Pelakon dan penyanyi Fazura kini melebarkan sayapnya ke Indonesia apabila mendapat tawaran berlakon lima buah filem di sana.

Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 33, berkata dia kini kerap ke negara jiran itu demi tugasan seninya.

“Alhamdulillah rezeki saya murah di Indonesia sekarang. Kini hampir setiap dua bulan saya akan ke sana.

"Insya-Allah bulan depan saya bakal menjalani penggambaran filem ketiga di sana.

"Malah, secara roughly untuk tahun hadapan sahaja saya sudah menerima lima tawaran untuk membintangi filem di sana,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui.

Fazura sebelum ini telah menjalani penggambaran filem Warkop Reborn di Indonesia pada Jun baru-baru ini.

Pelakon yang popular menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia itu memberitahu buat masa ini dia mahu fokus kerjayanya di sana selagi ada peluang.

"Buat masa ini, saya akui saya menerima banyak tawaran berlakon di sana berbanding di Malaysia.

"Saya pun faham keadaan industri filem Malaysia yang semakin menurun, ditambah pula dengan masalah ekonomi yang kita alami sekarang," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fazura bakal merakamkan album baru yang akan berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani.

Teks oleh: Syafiqah Jalal