Bekas bintang GegarVaganza 3 (GV 3), Elly Mazlein menganggap semua yang berlaku pada dirinya mempunyai hikmah tersendiri.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ketika ditemui Astro Gempak berkata, sungguhpun tidak lagi bersama GV 3 dia tetap akan menyokong rakan-rakan yang masih berjuang merebut gelaran juara.

“Saya percaya semua yang berlaku ada hikmah. Saya sentiasa berfikiran positif dan menganggap cabaran yang datang sebagai dugaan.

“Saya tetap menyokong dan mendoakan sahabat-sahabat di GV 3 yang sudah saya anggap seperti adik-beradik sendiri. Jika ada masa saya akan ke Auditorium MBSA untuk memberikan sokongan,” katanya.

Tambah Elly lagi, dia reda dengan apa yang berlaku dan percaya rezekinya tetap ada dalam industri seni.

"Saya berterima kasih kepada Astro kerana memberikan saya platform ini dan Alhamdulillah, sejak menyertai GV 3 saya mengumpul peminat baru dan sudah mula menerima undangan nyanyian.

“Selain itu, saya juga dirisik untuk menjadi duta beberapa jenama dan semua itu rezeki dari Allah untuk anak saya, Putri Sara Sefhia,” ujarnya positif.

Terdahulu Elly tersingkir di konsert minggu ke-empat GV 3.

Dalam konsert bertemakan Duet Vaganza, Elly bergandingan dengan Acong Sweetchild menyanyikan lagu Jangan Menangis Sayang.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu kelima GV 3 bakal membawa tema HitsVaganza dan sembilan bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> Gegar Vaganza

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin