Pelakon Almy Nadia akui mahu kembali berlakon sebaik sahaja selesai proses berpantang anak keduanya tidak lama lagi.

Almy Nadia berkata dia sudah amat merindui bidang lakonan setelah meninggalkannya sejak sebelum berkahwin.

"Sekarang ni saya masih fokus dengan anak-anak dan rumahtangga selain masih dalam proses berpantang.

"Namun saya tak nafikan, saya amat merindui dunia lakonan dan saya merancang untuk segera kembali tidak lama lagi selepas berpantang. Saya jangka dalam masa 3 bulan lagi.

"Meskipun saya sempat diberi peluang sekejap sahaja melepas rindu berlakon ketika saya hamil bayi kedua, namun ia masih belum beri kepuasan.

"Rasanya kali terkahir saya aktif berlakon adalah sebelum berkahwin dan ia kira agak lama juga," katanya kepada Astro Gempak ketika dihubungi.

Almy yang juga isteri kepada Fizz Fairuz itu baru sahaja melahirkan anak keduanya pada 27 September lalu.

Sementara itu, Almy memberitahu dia bakal membantu serba sedikit urusan syarikat suaminya iaitu Rain Maker Sdn Bhd yang mengendalikan Karnival Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pahang 2016 sehingga hujung tahun ini.

"Sebelum fokus dengan lakonan, saya bakal membantu Fizz untuk beberapa hal berkaitan event yang yang diuruskan sehingga hujung tahun ini.

"Lagipun kami baru setahun membuka syarikat pengurusan ini, banyak lagi yang perlu kami lakukan sendiri," katanya lagi.

Almy dan Fizz yag bernikah pada 26 April 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Afrina Arianna, 1, dan Nur Afirna Aurora yang baru sahaja berusia lebih sebulan.

Teks oleh: Syafiqah Jalal