Pengacara Aznil Nawawi mengakui pelbagai pengalaman yang dilalui ketika pertama kali mengendalikan rancangan kanak-kanak.

Aznil berkata, bukan mudah untuk mengawal tingkah laku kanak-kanak kerana mereka akan melakukan sesuatu perkara tanpa diduga.

"Saya pernah melalui pengalaman di mana ketika melakukan rakaman ada kanak-kanak yang membuang air kecil dan besar ketika berada di dalam studio.

"Ada pula diantara mereka yang akan berjalan dan duduk ketika proses rakaman dilakukan meskipun telah diberitahu pada awalnya supaya jangan berjalan," katanya kepada Astro Gempak.

Aznil berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulangtahun ke-10 Astro Ceria di The Royale Bintang, The Curve, Damansara, disini Rabu.

Tambahnya, sebagai seorang pengacara di dalam program kanak-kanak dia harus banyak mengambil hati mereka dalam mengawal sesuatu situasi.

"Semua ini merupakan pengalaman yang pernah saya melalui dalam mengacarakan program kanak-kanak.

"Ia merupakan sesuatu kenangan yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila.

"Sebagai pengacara saya harus pandai untuk mengambil hati kanak-kanak ini supaya mereka rasa terhibur dengan rancangan yang dijalankan," katanya.

Bercerita mengenai sambutan ulangtahun ke-10 Astro, mereka akan menyajikan sajian rancangan yang istimewa semasa cuti sekolah.

Pelbagai aktiviti dan rancangan yang menarik bakal disajikan kepada penonton di rumah.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi