Terima Amar Dengan Ikhlas, Amyra Janji Jaga Hubungan Sepenuh Hati

10 November 2016. 11.29 AM
45,402
Hiburan
Terima Amar Dengan Ikhlas, Amyra Janji Jaga Hubungan Sepenuh Hati

Pelakon Amyra Rosli berjanji akan menjaga bakal suaminya dengan penuh kasih sayang sebaik saja bergelar isteri kepada aktor Amar Baharin.

Kenyataan itu dibuat oleh Amyra menerusi satu temubual ringkas bersama Hlive pada majlis berinai yang berlangsung semalam di kediaman aktres tersebut.

“Waktu Amar merisik, saya terima dengan rela hati dan seikhlasnya untuk menjadi suri kepada Amar Baharin.

“Insha Allah perhubungan kami ini saya akan jaga, belai dan beri kasih sayang sepenuhnya kepada bakal suami,” katanya.

Amar yang berada di sisi Amyra turut tersenyum sebaik saja mendengar kenyataan yang dibuat oleh bakal isterinya itu.

Dalam pada itu, majlis berinai pasangan sama cantik sama padan ini berlangsung dalam keadaan sederhana namun meriah dengan kehadiran keluarga terdekat dan sahabat handai.

Dengan memilih konsep pakaian tradisional untuk majlis berinai, Amyra kelihatan cukup cantik memakai baju kurung bewarna hijau beserta dengan songket manakala Amar pula segak berbaju Melayu.

Dalam perkembangan lain, majlis persandingan disebelah pihak perempuan akan diadakan pada 12 November 2016 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Manakala majlis persandingan sebelah lelaki pula pada 19 November 2016 dan diadakan di Ampang.

Amyra dan Amar sebelum ini telah melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup pada 22 Julai lalu. 

Di sini Astro Gempak kongsikan foto-foto eksklusif sekitar majlis berinai Amyra dan Amar yang diambil menerusi Instagram Hlive Official.

Teks oleh: Mya Amri


Artikel Berkaitan