Bekas kekasih Puteri Sarah, Ammar Alfian menjelaskan dia bukan sengaja mencari publisiti murahan di Instagram dengan memuat naik gambarnya dengan tatu di badan.

Menurut Ammar Alfian atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz Bin Mohd Zakri, gambar tersebut tidak sepatutnya diperbesarkan sesetengah pihak dan mengharapkan masyarakat memandang bakat lakonan bukan kisah peribadinya.

“Tatu di dada dan bahu saya itu dibuat selepas putus cinta dengan seorang pelakon kira-kira dua tahun lalu.

"Niat saya memuat naik gambar dalam keadaan begitu kerana itu adalah diri saya. Inilah kehidupan saya.

"Saya tidak perlu menjadi orang lain demi menjaga hati orang lain. Saya mahu biarlah orang ramai lebih memandang bakat lakonan saya dan bukan kisah-kisah peribadi saya seperti ini," katanya seperti dipetik menerusi
Harian Metro.

Jelas Ammar lagi dia ada memasang niat untuk membuang tatu tersebut namun masih belum berkesempatan untuk berbuat demikian.

"Saya memang nak buang tatu ini. Saya sudah pergi ke beberapa klinik dan mereka menyatakan akan ada kesan parut jika saya membuangnya.

"Mereka turut menyarankan saya melakukannya di Amerika Syarikat kerana di sana kaedahnya lebih bagus tanpa sebarang kesan parut. Jika ada rezeki memang saya mahu ke sana untuk membuang tatu ini," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ammar mengakui tidak sengaja memuat naik sebuah video diadia mengucup bibir seorang wanita dipercayai kekasihnya di Instagram ketika bercuti di sebuah pulau baru-baru ini.

"Saya memang tidak sengaja memuat naik video itu dan wanita itu juga bukan kekasih saya.

"Apabila ada rakan menegur mengenai video itu saya terus memadamnya. Saya mengaku saya silap dan saya mohon maaf. Sebagai manusia biasa saya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan,”jelas Ammar lagi.

Video berdurasi 15 saat itu memaparkan Ammar dalam keadaan tidak berbaju mengucup bibir seorang wanita dipercayai kekasihnya dan bertindak memadamnya beberapa jam kemudian.

Olahan Semula:
Khalid Rahman

Sumber:
Harian Metro