Pelakon Uqasha Senrose terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada ahli kumpulan #KungfuKipidap sebentar tadi selepas dia diumumkan sebagai peserta yang tersingkir di pentas program Super Spontan All Stars.

Beraksi di minggu keenam, #KungfuKipidap tewas dari segi undian SMS kepada #SilatDongibab yang diketuai oleh Zizan Razak.

Penyingkiran Uqasha Senrose sebentar tadi menyaksikan #KungfuKipidap kini hanya tinggal empat peserta iaitu Tauke Jambu, Rahim R2, Shahrol Shiro dan Johan yang akan meneruskan perjuangan mereka pada minggu hadapan.

Sebelum bermulanya lima permainan di pentas Super Spontan All Stars, kesemua ahli kumpulan #SilatDongibab terpaksa menjalani hukuman #BelonPuakaSpontan selepas mereka tewas kepada #KungfuKipidap pada Jumaat minggu lalu.

Sekaligus menyaksikan tiada lagi peserta wanita yang akan mewakili kedua-dua kumpulan sehingga ke pentas akhir kelak.

Antara permainan menarik untuk malam ini ialah Dahiku Dahimu, Soal Menyoal, Cerita Sampai Kecut, Dialog Dalam Tin dan Demonstrasi.

Menarik menerusi permainan terakhir iaitu Demonstrasi, Zizan Razak hampir termuntah di atas pentas apabila Uqasha Senrose dan Yus Jambu dengan secara tidak sengaja melemparkan tepung pelbagai warna ke muka pelawak kelahiran Terengganu itu.

Malah keadaan semakin tidak terkawal apabila kedua-dua ahli kumpulan terus mencetuskan ‘Perang Tepung’ di antara satu sama lain.

Dengan tersingkirnya Uqasya Senrose, maka persaingan merebut tempat ke pentas akhir Super Spontan All Stars semakin sengit apabila barisan pelawak terkenal tanah air bagi kedua-dua kumpulan akan terus memberi saingan sengit untuk merebut gelaran juara.

Jangan lupa untuk terus menonton program Super Spontan All Stars pada Jumaat minggu hadapan di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Super Spontan All Stars dihoskan oleh Datuk AC Mizal sementara Afdlin Shauki, Ray dan Haniff beraksi sebagai pengulas

Layari www.superspontanallstars.com.my untuk info lanjut.

Teks Oleh: Khalid Rahman