Top 5 Anak Bintang Bola Sepak Paling Popular Di Dunia

3 Oktober 2015. 8.00 AM
25,516
Gaya Hidup
Top 5 Anak Bintang Bola Sepak Paling Popular Di Dunia

Seperti mana anak-anak bintang filem atau penyanyi popular di dunia, anak-anak kepada pemain bola sepak juga mengecapi populariti yang setaraf dengan bapa mereka berdasarkan publisiti yang diberi.

Jika di Hollywood, apa saja tindak-tanduk anak kepada bintang ternama dan keluarga mereka sering menjadi perhatian media, di Eropah juga perkara yang sama berlaku cuma lensa kamera media lebih ditujukan kepada bintang bola sepak berbanding sukan-sukan lain.

Ada sebab dan kenapa anak-anak setahun jagung ini sering menjadi perhatian media dan mendapat publisiti meluas.

Di bawah ini Astro Gempak menyenaraikan top 5 pilihan kami mengenai anak bintang bola sepak paling popular di dunia.

5. Benjamin Aguero

Anak kepada Sergio Aguero yang kini merupakan pemain kelab Manchester City FC dan skuad kebangsaan Argentina. Populariti Benjamin bukan hanya kerana dia anak kepada Sergio Aguero, tetapi dia juga adalah cucu kepada lagenda bola sepak dunia, Diego Maradona. Benjamin dilahirkan pada 19 Februari 2009. Ibunya adalah Giannina, anak bongsu kepada Maradona yang dikahwini Aguero pada tahun 2008. Publisiti yang dimiliki Benjamin amat meluas kerana dia mewarisi legasi bola sepak dari kedua bapa dan datuknya. Banyak media menjangkakan yang Benjamin juga bakal meneruskan legasi bola sepak tersebut. Oh ya, bapa angkat Benjamin ialah Lionel Messi, pemain terbaik dunia ketika ini.

4. Milan Pique Mebarak

Anak kepada bintang bola sepak FC Barcelona dan Sepanyol, Gerard Pique. Ibu Milan adalah seseorang yang amat dikenali dalam bidang seni iaitu penyanyi popular Shakira yang telah berpacaran dengan Pique sejak tahun 2010. Milan dilahirkan pada 22 Januari 2013. Menurut ibunya, Milan dinamakan sempena bandar hebat di Italy selain bermaksud yang tersayang atau penuh rahmat dalam bahasa Slavic. Dalam bahasa Sanskrit pula Milan membawa maksud penyatuan. Milan kini telah pun bergelar abang apabila Shakira melahirkan anak keduanya, Sasha pada 29 Januari 2015.

3. Thiago Messi

Anak kepada pemain FC Barcelona dan Argentina, Lionel Messi. Sebut sahaja nama bapanya, satu dunia sudah tahu betapa hebat bapanya di atas padang. Thiago dilahirkan 2 November 2012 dan ibunya ialah kekasih yang telah dikenali sekian lama oleh Messi, Antonella Roccuzzo. Demi anaknya, Messi sendiri turut mempunyai tatu tertulis nama Thiago di peha kirinya. Publisiti yang diterima Thiago amat meluas, dan sekiranya Thiago membesar dan menjadi pemain bola sepak, dia boleh memilih sama ada mewakili negara asal bapanya Argentina atau mewakili negara tanah tumpah darahnya, Sepanyol. Media juga kerap membandingkan Thiago dengan Cristiano Ronaldo Jr, kerana `permusuhan` antara bapa mereka di atas padang.

2. Cristiano Ronaldo Jr

Dari namanya sahaja kita sudah tahu siapa bapanya. Anak kepada bintang bola sepak paling popular di dunia ini telah dilahirkan pada 17 Jun 2010. Setakat ini, bapanya Ronaldo tidak pernah mendedahkan siapa ibu sebenar kepada anak lelakinya ini. Cristiano Jr telah dilahirkan di Amerika Syarikat. Dan seperti mana bapanya sering dibandingkan dengan Lionel Messi, Cristiano Jr juga sering dibandingkan Thiago Messi. Fakta menarik mengenai Cristiano Jr, dia dilahirkan 869 hari lebih awal dari Thiago Messi, seperti mana Cristiano Sr dilahirkan 869 hari lebih awal dari Lionel Messi. Bakat dan kemampuan Cristinao Jr sebagai pemain bola sepak kini telah pun menyerlah di usia 5 tahun dan dijangka dia akan mengikuti langkah bapanya di masa akan datang.

1. Brooklyn Beckham

Brooklyn Beckham sememangnya wajar menduduki tangga pertama sebagai anak bintang bola sepak paling popular ketika ini. Bapanya ialah bekas bintang bola sepak England paling popular, David Beckham manakala ibunya Victoria adalah bekas anggota kumpulan Pop British, Spice Girls. Brooklyn dilahirkan pada 4 Mac 1999, dan kini telah pun berusia 16 tahun dan meningkat dewasa, menjadikan publisiti yang diberikan media kepada Brooklyn lebih hebat dari nama-nama lain dalam senarai ini. Seiring dengan usianya, semakin banyak kontroversi mula terpalit antaranya ialah tentang hubungan cintanya dengan aktres Hollywood, Chloe Grace Moretz. Oh ye, Brooklyn juga dikhabarkan peminat Justin Bieber.

Begitulah senarai pilihan Astro Gempak tentang top 5 anak bintang bola sepak paling popular. Bagaimana pula dengan anda? Setuju dengan pilihan kami?

Teks Oleh: Helmi Zainalabidin


Artikel Berkaitan


Komen