5 Tips Untuk Menegur Atau Berdakwah Di Media Sosial Dari PU Hafiz

7 Oktober 2015. 9.00 AM
2,379
Salam Muslim
5 Tips Untuk Menegur Atau Berdakwah Di Media Sosial Dari PU Hafiz

Jika dilihat kembali kebelakangan ini, kita akan melihat kemunculan ramai keyboard warrior atau pun ustaz/ustazah segera yang memberi komen yang kadangkala melampaui batas di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Mangsa kepada golongan ini selalunya adalah golongan artis atau pun individu ternama yang telah memuatnaik foto atau pun kapsyen mengenai kehidupan seharian mereka.

Jika foto yang dimuatnaik itu kelihatan keterlaluan atau ada sesuatu yang tak kena, maka berbondong-bondonglah kejian, cacian, nasihat atau ayat makan dalam yang diterima oleh individu tersebut.

Jika difikir secara rasional, kedua-dua pihak ada salahnya. Si pemuatnaik bersalah kerana tidak memikirkan baik buruk foto yang dimuatnaik itu, manakala si pengomen turut bersalah kerana sewenang-wenangnya memaki serta mengeji dan merasakan dirinya sahaja yang betul.

Justeru, apakah cara terbaik untuk kita menegur golongan ini dengan gaya yang berakhlak/berhemat secara online?

Astro Gempak telah menghubungi juara Pencetus Ummah musim pertama iaitu PU Hafiz untuk bertanyakan hal ini.

Ikuti 5 Tips Untuk Menegur Atau Berdakwah Di Media Sosial Dari PU Hafiz

1. Menegur secara hikmah dan baik. Jangan sama sekali menggunakan perkataan yang memaki hamun dan menfitnah. Janganlah pula kita menambah dosa sendiri dengan memaki hamun dan memfitnah dosa orang.

2. Berdakwah mengikut kadar kamampuan akal manusia dan golongan tersebut. Kalau pelajar sekolah caranya berbeza apatah lagi orang dewasa. Lain orang lain cara pendekatannya.

3. Tabayyun (mengesahkan maklumat dengan betul) sebelum berkongsi apa-apa info atau copy n paste sesuatu fakta apatah lagi menyebarkan hadis palsu.

Rasulullah bersabda dalam hadisnya: "Cukuplah kamu sebagai seorang pendusta dengan bercakap apa juga yang didengari".

Juga hadis: "Sesiapa yang berdusta ke atas ku maka dia telah menempah tempat duduknya di api neraka"

4. Menambah ilmu, beramal soleh dan meninggalkan maksiat. Dengan adanya amalan soleh dan ilmu yang ditimba akan meninggalkan dosa dan maksiat yang kita lakukan. Share maklumat dari FB para murabbi sekiranya kita kekurangan ilmu.

5. Muhasabah diri. Setiap dari kita tidak tahu kesudahan hidup. Sebuah kisah dalam hadis Bukhari menceritakan seorang pelacur telah diampunkan dosanya hanya semata-mata kerana dia memberi seekor anjing minum dengan menggunakan kasutnya.

Juga kisah dalam hadis Bukhari dan Muslim, seseorang yang telah membunuh 100 orang tetapi akhirnya dia dimasukkan ke syurga ketika dia mula berhijrah.

Maka janganlah kita terlalu cepat menghukum orang di atas kesilapannya sekarang sedang kita tidak tahu akan kesudahannya suatu hari nanti.

Maksudnya Allah S.W.T telah menentukan pengakhiran kita sama ada dalam Husnul Khatimah atau Suul Khatimah.

Sebagai kesimpulan, ingatlah kita akan dipertanggungjawab di atas apa yang kita katakan dan tulis.

Muhasabah di atas apa yang kita lakukan. Ingat sabda Nabi: "Sesiapa yang menutup aib saudaranya maka Allah S.W.T akan menutup aibnya di akhirat nanti".

Begitulah serba sedikit pesanan dari PU Hafiz untuk kita menegur dan berdakwah secara online.

Jadi untuk anda, jangan lupa nantikan kemunculan Pencetus Ummah 2015 yang akan bermula pada 15 Oktober ini. Apa pula cabaran yang bakal dihadapi oleh golongan pendakwah di zaman serba moden ini? Nantikan.

Teks Oleh: Helmi Zainalabidin


Artikel Berkaitan


Komen