Anggota kumpulan Running Man Kang Gary akui bahawa dia pernah terfikir untuk bercinta dengan rakan sepasukannya iaitu Song Ji Hyo.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Gary melalui program ‘Healing Camp’ yang disiarkan di One HD (saluran 393) baru-baru ini.

Menurut Gary, sejak mereka ‘dijodohkan’ dalam program Running Man, ramai peminat mengharapkan agar mereka berdua benar-benar bercinta.

“Sudah hampir lima tahun kami menjadi pasangan (Monday Couple) dalam Running Man dan dalam tempoh tersebut itu sepatutnya saya sudah memiliki perasaan terhadap dia (Ji Hyo).

“Tapi hubungan kami hanyalah sekadar teman kerja dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Bagaimanapun, pengacara ‘Healing Camp’, Kim Jae Dong terus mengusik Gary dengan soalan yag berbunyi:

“Adakah ini bermaksud anda tidak pernah jatuh hati terhadap Song Ji Hyo sepanjang tempoh lima tahun itu?” soalnya.

Sebaik sahaja soalan itu diajukan Gary dengan jujur memberitahu bahawa dia pernah terfikir untuk bercinta dengan Ji Hyo namun setelah memikirkan beberapa perkara akhirnya dia mengambil keputusan untuk kekal sebagai rakan sekerja sahaja.

“Saya tidak pernah menghubunginya jika tidak ada perkara yang berkaitan dengan kerja.

“Secara jujur, saya memang pernah melihat sisi lain yang ada pada dirinya iaitu sebagai seorang wanita dan bukan sebagai rakan sekerja.

“Namun, kadang-kala bila sudah mula rasa jatuh hati padanya, saya cakap pada diri supaya jangan ikutkan perasaan.

“Kerana saya pernah terfikir apa akan jadi jika kami berdua benar-benar bercinta?

“Dan bagaimanapula sekiranya hubungan cinta kami terputus di pertengahan jalan? Sudah pasti kami akan jadi kekok untuk bekerja bersama.

“Itu akan memberikan kesan yang lebih buruk pada Running Man, oleh sebab itu saya ambil keputusan untuk fokus terhadap kerja sahaja.” jelasnya panjang lebar.

Terdahulu, Gary dan Ji Hyo dikenali sebagai pasangan Isnin (Monday Couple) kerana mereka telah ‘dijodohkan’ oleh Yoo Jae Suk pada hari Isnin di mana ia adalah waktu program tersebut bersiaran di Korea.

Olahan Semula: Mya Amri

Sumber: Healing Camp, Soompi