Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) memperkenalkan ‘On Demand’ (OD) kepada para pelanggannya yang membolehkan mereka menentukan pilihan tontonan mereka.

Tawaran terbaru Astro itu terdiri daripada pilihan kandungan hingga bagaimana dan bila pengguna ingin menonton rancangan kegemaran mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, berkata menerusi tema, 'Pilih, Tonton, Serta Merta', rakyat Malaysia kini boleh menonton rancangan hebat pada bila-bila masa dengan penawaran OD.

Katanya, selain kepelbagaian pilihan kandungan yang menyajikan filem pecah panggung terhebat dan terkini, OD juga memiliki akses ke atas keseluruhan episod lengkap sesebuah siri televisyen yang digemari.

"Rakyat Malaysia adalah kumpulan pengguna yang cukup sofistikated, sentiasa berhubung di atas talian, sentiasa dilihat berada di garisan grid digital dan sentiasa menginginkan akses kepada hubungan ketika berada di luar rumah sama ada menerusi atas talian atau luar talian.

"Jadi, kami melihat terdapat peningkatan dalam permintaan terhadap perkhidmatan Video On Demand. OD adalah cara terbaharu menikmati kandungan di mana-mana saja," katanya pada majlis memperkenalkan hiburan OD di Bukit Jalil, petang Rabu.

Pelanggan Astro boleh mendapatkan perkhidmatan OD menerusi dekoder PVR yang disambungkan kepada internet di rumah atau melalui aplikasi Astro On The Go (AOTG) di telefon pintar, komputer riba atau tablet masing-masing.

Bagi pengguna yang tidak melanggan pakej Astro, mereka boleh menikmati kandungan OD menerusi AOTG. Terdapat tiga pilihan OD bersesuaian dengan bajet dan pilihan tontonan iaitu OD Free, OD Plus dan OD Store.

Para pelanggan yang menyambung PVR mereka ke Internet sebelum 31 Januari 2016 akan menikmati akses percuma selama 3 bulan kepada kandungan OD Plus.

Untuk maklumat lanjut, layari www.watchod.com.