Jambatan Kaca Di China Retak, Pelancong Lari Selamatkan Diri

9 Oktober 2015. 7.00 AM
38,929
Jambatan Kaca Di China Retak, Pelancong Lari Selamatkan Diri

Keadaan menjadi huru-hara apabila jambatan gantung kaca di Hunan, China dilaporkan retak walaupun baru sahaja dibuka selama dua minggu.

Kejadian tersebut berlaku pada Rabu di mana CNN melaporkan pelancong berlari dalam keadaan panik selepas melihat keretakan pada laluan yang berbentuk U di Yuntaishan (Gunung Yuntai) Scenic Park.

Perkara itu telah menarik perhatian ramai sehingga menjadi viral di media sosial.

Malah pengunjung yang merasai sendiri detik cemas itu telah berkongsi pengalaman mereka melalui Weibo (laman mikro-blogging China).

“Baru sahaja menyaksikan satu detik bersejarah – laluan jambatan kaca Yuntaishan retak.

"Ketika menghampiri penghujung laluan, saya terdengar satu bunyi yang kuat. Saya mula resah dan panik, saya tunduk ke bawah dan melihat lapisan kaca di bawah jambatan retak seribu.

"Saya mula menjerit, 'Ia benar-benar retak. Ia benar-benar retak! 'Kemudian saya berlari menolak orang-orang di depan kerana terkejut melihat kejadian tersebut,” tulis seorang pengguna yang dikenali dengan nama leedonghaeshuohyukjaenihaowodeaia.

Susulan kejadian tersebut pihak berkuasa taman tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan bagi mengesahkan kejadikan berkenaan.

“Untuk memastikan keselamatan tetamu, laluan kaca itu ditutup serta-merta. Pakar-pakar keselamatan juga sedang menyiasat punca kejadian," jelasnya.

*jambatan kaca yang retak membuatkan pelancong panik*

Difahamkan, permukaan laluan tersebut dibina dengan tiga lapisan ‘tempered-glass’ yang ditempah khas untuk projek tersebut.

Menurut pihak taman itu, keretakan hanya berlaku pada satu lapisan kaca dan ia tidak akan menimbulkan sebarang ancaman kepada keselamatan pelancong.

Laluan jambatan akan ditutup sehingga kerja pembaikian selesai.

Sebelum ini, dilaporkan kaca yang digunakan untuk membina jambatan tersebut adalah setebal 24 milimeter dan dikatakan 25 kali lebih kuat daripada jenis kaca lain.

Bagaimanapun, kejadian ini telah menimbulkan keraguan pelancong dari segi aspek keselamatan jambatan tersebut.

Terdahulu, laluan Yuntaishan yang dibuka bulan lalu merupakan tarikan baru pelancong di China, di mana  pelancong akan berpeluang untuk berjalan di atas jambatan kaca setinggi 1000 meter yang dibina merentasi sebuah jurang.

Susunan: Mya Amri

Sumber: Astro Awani, CNN


Artikel Berkaitan


Komen