Pelajar dari Singapura, Sufi telah dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia 2015 (#AF2015) dalam Konsert Akhir #AF2015 yang berlangsung malam tadi.

Kemenangan itu menjadikan Sufi sebagai pelajar pertama AF yang bergelar juara dari Singapura, mengatasi rekod Aisyah #AF2013 yang sebelum ini hanya layak ke peringkat Akhir #AF2013.

Sufi atau nama sebenarnya, Mohammad Sufie Rashid, 24, telah menewaskan saingan terdekatnya, Syamel yang pada awalnya menjadi jangkaan beberapa pihak untuk bergelar juara pada konsert akhir tersebut.

Dengan kemenangan ini, Sufi telah berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM50,000, pakej percutian ke Dubai tajaan HNH Tours Sdn Bhd dan sebuah trofi.

Pada konsert akhir tersebut, Sufi telah menyampaikan lagu ciptaan penuh dirinya sendiri bertajuk Kisah Dua Muka serta lagu Andai Ku Bercinta Lagi nyanyian asal kumpulan Mojo.

Sementara itu, Syamel yang bergelar naib juara telah memenangi hadiah berupa wang tunai bernilai RM30,000, pakej percutian ke Dubai tajaan HNH Tours Sdn Bhd dan sebuah trofi. Syamel telah mempersembahkan lagu Hidup Dalam Mati ciptaannya sendiri serta Sampai Mati nyanyian asal Hazama.

Seorang lagi peserta favourite, Bila telah menduduki tempat ketiga selepas menyampaikan lagu Diam Saja ciptaan Edry Abdul Halim dan lagu nyanyian asal Faizal Tahir, Karma. Anak kepada pemain bass kumpulan Wings iaitu Eddie ini telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000, pakej percutian ke Dubai tajaan HNH Tours Sdn Bhd dan sebuah trofi.

Manakala Shahrul pula menduduki tangga keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, pakej percutian ke Dubai tajaan HNH Tours Sdn Bhd dan sebuah trofi. Sharul telah menyampaikan lagu Hanya Kamu ciptaan Zul 2 By 2 dan Just The Way You Are nyanyian asal Bruno Mars.

Konsert Akhir #AF2015 telah bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Konsert gilang gemilang ini turut menyaksikan persembahan istimewa dari kumpulan Bunkface, Dato` Sheila Majid dan Caliph Buskers.

Zizan Razak dan Faizal Ismail terus bertindak sebagai pasangan hos manakala barisan pengkritik pula terdiri daripada Dato` Ramli MS, Dato` AC Mizal, Fauziah Ahmad Daud dan Datuk Aznil Hj Nawawi.

Teks Oleh Helmi Zainalabidin