Pelakon Amerul Affendi Terkejut Watak Mat Yam 'Lembut' Dapat Sambutan

13 Oktober 2015. 10.23 AM
34,154
Filem
Pelakon Amerul Affendi Terkejut Watak Mat Yam 'Lembut' Dapat Sambutan

Pelakon Amerul Affendi mengakui terkejut apabila watak yang dipegangnya  sebagai Mat Yam dalam filem Polis Evo mendapat pujian dan reaksi positif penonton di pawagam.

Menurut Amerul Affendi atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, pada awalnya dia telah diberi kepercayaan untuk menjayakan watak sebagai orang Siam namun wataknya itu telah ditukar pada saat-saat yang akhir oleh pengarah dan pihak produksi.

“Sebenarnya saya ditawarkan untuk memegang watak serius sebagai orang Siam. Tetapi sebaik sahaja tibadi set penggambaran, pengarah serta  pihak produksi mahu saya jayakan watak lelaki lembut pula. 

“Agak terkejut juga sebab saya perlu tukar dialog dan sesuaikan diri dengan watak tersebut secara drastik. Tetapi Alhamdulillah saya cuba buat yang terbaik dan tidak menyangka watak Mat Yam terima pujian positif para penonton di pawagam,” jawab Amerul Affendi sewaktu dihubungi Astro Gempak.

Jelas Amerul lagi, keunikan watak Mat Yam hadir menerusi jalan cerita dan skrip Polis Evo yang sangat kuat dan menarik.

“Apa yang penonton lihat menerusi watak tersebut  bukan seratus peratus atas bakat lakonan saya, sebaliknya ianya turut dibantu dengan jalan cerita yang bagus.

“Secara tidak langsung ianya memberi kesan mendalam terhadap watak-watak dalam filem tersebut. Mungkin juga watak Mat Yam boleh dilihat sangat unik kerana dia satu-satunya karakter lembut berbanding pelakon lain yang tampil dengan bentuk fizikal yang berbeza,” ujar Amerul lagi.

Dalam pada itu, Amerul Affendi mengakui kualiti adalah faktor utama kejayaan filem Polis Evo yang berjaya meraih kutipan sebanyak RM13 juta dalam masa tiga minggu.

“Apa yang saya lihat, kualiti merupakan faktor utama mengapa filem Polis Evo berjaya meraih RM13 juta dalam masa tiga minggu. Peminat filem tempatan sudah bijak memilih filem mana yang bagus dan berkualiti.

“Polis Evo hadir dalam satu pakej yang lengkap di mana pengarah, pelakon, pihak produksi dan jalan cerita yang mantap. Jadi tidak mustahil ianya mampu menarik minat umum untuk ke panggung wayang menonton Polis Evo,” katanya lagi mengakhiri perbualan.

Teks Oleh: Khalid Rahman


Artikel Berkaitan


Komen