Ikatan kasih sayang dalam sesebuah keluarga itu ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Hasrat Nur Shuhada Binti Adenan, 24, juga salah seorang pendengar setia ERA fm yang ingin bertemu keluarga kandungnya akhirnya tercapai apabila ERA fm berjaya menyatukan mereka pada Jumaat minggu lalu.

Al-kisahnya, sejak lahir Nur Shahada serta 10 adik –beradiknya yang lain serta ibu bapanya telah berpisah kerana faktor keluarga yang tidak berkemampuan. Disebabkan itu, dia dijaga oleh keluarga angkatnya sehingga berkahwin dan kini mempunyai dua orang cahaya mata.

Akibat perasaan rindu yang kian menebal selain pesan arwah ayah angkat supaya mencari bapa kandungnya, Nur Shahada mengambil inisiatif menyampaikan hasratnya tersebut melalui laman Instagram ERA fm dan permintaannya telah mendapat perhatian.

Oleh kerana Nur Shahada kini menetap di Kota Marudu, Sabah, pihak ERA fm Sabah terpanggil untuk bergabung bersama ERA fm Sarawak untuk menghubungi Nur Shahada bagi mendapat maklumat lanjut mengenai keluarga kandungnya yang kini berada di Sarawak.

Nur Shahada telah dijemput untuk ditemubual oleh penyampai ERA fm Sarawak iaitu Osha dan Opie dan sebuah kejutan yang amat bermakna sepanjang hidupnya berlaku apabila ahli keluarganya termasuk abang dan ibu kandungnya muncul di dalam konti.

Wanita berusia 24 tahun ini nyata terkejut dan teruja apabila impiannya selama ini akhirnya tercapai. Malah suasana di konti ERA fm Sarawak bertukar syahdu saat Nur Shahada nangis teresak-esak sambil memeluk erat abang kandungnya, Fuad Farouk.

Usaha ERA fm Sabah dan Sarawak yang menyatukan Nur Shahada dan ahli keluarganya membuktikan peranan ERA fm sebagai sebuah stesen radio yang memberikan informasi terkini serta memberikan hiburan dan isi kandungan yang menarik buat pendengarnya.

Dalam pada itu, Nur Shahada mengucapkan jutaan terima kasih kepada ERA fm Sabah dan Sarawak yang mengambil inistiatif untuk melangsaikan permintaannya itu yang hanya dilakukan melalui Instagram rasmi ERA fm.

Pihak ERA fm Sabah dan Sarawak juga menganggap perkara sebegini yang dilaksanakan tanpa ada perancangan pada awalnya, tetapi masih dapat memenuhi kehendak dan permintaan pendengar mereka.

Teks Oleh: Khalid Rahman