Konsert Jelajah Terakhir, M.Nasir Janji Persembahan Mantap

22 Oktober 2015. 2.22 AM
2,044
Hiburan
Konsert Jelajah Terakhir, M.Nasir Janji Persembahan Mantap

Penyanyi dan komposer Dato’ M.Nasir menjanjikan persembahan lebih mantap dan bertenaga pada konsert jelajah terakhirnya di Stadium Melawati, Shah Alam pada 7 November depan.

M.Nasir atau  nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad berkata, walaupun tiada elemen kejutan pada konsert kali ini, namun dia yakin persembahan itu mampu menarik lebih ramai peminat.

“Saya percaya peminat tetap akan datang. Tidak kiralah banyak atau tidak perbezaan konsert di Shah Alam nanti dengan tiga konsert jelajah di Kuantan, Pahang, Pasir Gudang, Johor dan Pulau Pinang sebelum ini.

“Perbezaan dari susunan lagu pasti ada dan sudah tentu ia akan memuaskan hati para peminat yang membeli tiket,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media, baru-baru ini.

Bekas vokalis kumpulan Kembara itu juga tidak bimbang bersaing dengan beberapa persembahan besar yang akan berlangsung berdekatan tarikh konsertnya.

“Ya, saya tahu mengenai beberapa buah konsert lain yang akan diadakan pada hujung bulan ini, tapi saya yakin dengan promosi dilakukan penganjur.

Konsert M Nasir... Kembara selama dua jam itu akan diserikan dengan penyanyi Fynn Jamal yang akan membuat per­sembahan pembukaan. Fynn dijangka menghiburkan penonton dengan beberapa lagu hit seperti Arjuna Beta dan Terbang Tunduk.

Lebih menarik lagi, sebelum konsert bermula, M Nasir menerusi syarikat miliknya, Luncai Emas mencari bakat baru nyanyian dalam program Lets Nyanyi.

Sesi uji bakat akan berlangsung di Stadium Melawati bermula jam 11 pagi dan dibuka kepada semua peringkat umur.

Sebelum ini, M Nasir melangsungkan dua konsert di Istana Budaya iaitu Konsert Sang Pencinta pada 2013 dan Konsert Hati Emas Kembara tahun lalu.

Tempahan tiket dan maklumat lanjut mengenai Konsert M Nasir...Kembara boleh melayari laman web wwww.ticket2u.biz.

Tiket dijual pada harga RM50, RM100, RM200 dan RM350.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin


Artikel Berkaitan


Komen