Peserta Gegar Vaganza 2 (GV2), Ezad Lazim mengakui teruja ketika menerima tawaran daripada Astro untuk menyertai program realiti tersebut.

Kata Ezad, tujuan dia menyertai GV2 adalah untuk menggilap semula ‘bintang’nya di dalam industri hiburan tanah air.

“Saya tak malu untuk mengaku yang saya memang bersungguh ketika menerima tawaran dari Astro. Kalau boleh, saya mahu bergelar juara pada musim ini,” katanya ketika di temui Astro Gempak pada majlis sidang media program tersebut di The Gardens baru-baru ini.

Ketika ditanya tentang penerimaan masyarakat selepas terlibat kes dadah pada awal tahun lalu, Ezad berkata dia bersyukur kerana mendapat sokongan yang positif.

“Banyak hikmah yang saya dapat selepas kejadian ditangkap ekoran dadah sebelum ini dan syukur masih belum terlambat untuk saya berubah.

“Saya tekad untuk berubah menjadi insan lebih sempurna dengan mendekatkan diri kepada Allah selain tidak mengulangi kesilapan dilakukan sebelum ini,” ujarnya.

Malah kata Ezad, dia bertuah kerana sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, sahabat dan isterinya banyak menguatkan semangatnya untuk terus fokus kepada masa hadapannya.

"Isteri adalah insan yang sentiasa berada di sisi saya tidak kira pada keadaan sukar atau pun senang dan dialah orang yang banyak menguatkan semangat saya agar melupakan kesalahan lalu dan dekat kepada agama.

"Alhamdulillah kes berkenaan benar-benar telah membuka mata saya dan saya simpan sebagai salah satu lipatan sejarah hidup saya.

"Saya akui kerjaya seni sedikit terjejas selepas ditangkap dulu, tapi mungkin itu adalah balasan atas perbuatan sendiri namun saya bersyukur kerana masih ada juga undangan nyanyian biarpun tidak sehebat sebelum kejadian itu.

“Saya akur dan berjanji akan bangkit semula demi isteri dan anak saya dan saya ‘kembali’ untuk mendapatkan kepercayaan semua pihak,” katanya.


Teks Oleh: Hafiza Kamarudin