Pencetus Ummah: PU Angah & PU Hilmi Akui Silap Beri Jawapan Punca Tersingkir

24 Oktober 2015. 1.57 AM
3,921
Salam Muslim
Pencetus Ummah: PU Angah & PU Hilmi Akui Silap Beri Jawapan Punca Tersingkir

Dua peserta Pencetus Ummah 2015 yang tersingkir Khamis lalu iaitu PU Angah dan PU Hilmi berkata, tersilap memberi jawapan mungkin adalah faktor mereka menjadi dua peserta terawal tersingkir dari program dakwah itu.

Dalam Mimbar Pencetus Ummah 2015 bagi minggu kedua yang berlangsung Khamis malam, kedua-dua mereka telah diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir, sekali gus meninggalkan 10 peserta lain untuk bersaing di minggu berikutnya.

Bagi PU Angah, dia mengakui perasaan gemuruh ketika berdepan dengan soalan dari pihak juri telah menyebabkan dia tersasul memberikan jawapan yang lain ertinya.

Soalan yang diajukan kepada PU Angah ketika itu ialah tentang apa hukumnya menyimpan gambar keluarga atau potret keluarga di dalam rumah.

Jawapan PU Angah ialah ia dibenarkan jika gambar itu tidak cukup sifatnya. Segalanya lancar bagi PU Angah sehinggalah dia memberi huraian bahawa jika gambar itu cukup sifatnya iaitu dari hujung kepala ke hujung kaki, maka ‘syaitan tidak akan masuk ke rumah’.

Jawapan PU Angah itu mendapat teguran daripada juri tetap iaitu Datuk Ustaz Kazim Elias yang menjelaskan kesilapan PU Angah itu boleh memberi kesan kepada pemahaman masyarakat.

Huraian yang sebetulnya ialah ‘malaikat tidak akan masuk ke rumah jika ada gambar atau potret yang cukup sifatnya’.

Sementara itu, perkara yang sama juga berlaku kepada PU Hilmi yang mana dia tidak menjawab penuh soalan yang diberikan kepadanya.

Soalan yang diajukan kepada PU Hilmi ialah bagaimanakah seseorang itu harus menguruskan harta yang dikutip menerusi riba?

Kegugupan PU Hilmi telah menyebabkan dia memberikan jawapan yang tidak menjawab persoalan iaitu dia berkata ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ tanpa memberi huraian penuh kepada persoalan tadi.

Dua perkara tersebut menyebabkan kedua-dua mereka bersepakat yang mungkin itu adalah faktor mereka tersingkir.

Bagaimanapun PU Angah berkata dia bersyukur kerana diberi peluang bersaing dan berdakwah walaupun hanya seketika dalam Pencetus Ummah 2015. PU Angah adalah anak didik kepada PU Azman.

Manakala PU Hilmi pula bangga kerana dapat bersama 11 peserta lain selain dapat menuntut ilmu dari Mualim berpengalaman iaitu Imam Muda Asyraf.

Mimbar Pencetus Ummah 2015 minggu kedua yang bertemakan ‘Sifat-Sifat Mazmumah` telah bersiaran secara langsung dari Auditorium DR Zainuddin Jaafar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Ianya telah dihoskan oleh pasangan pengacara Ustaz Zulkefli Hamat dan Haji Shamsul Ghau Ghau.

Dua juri jemputan minggu ini ialah Ustaz Ebit Lew dan Dato` Malek Noor disamping dua juri tetap iaitu Datuk Uztaz Kazim Elias dan Abby Fana.

Selain itu, kumpulan Mojo dan bekas peserta Kilauan Emas iaitu Wak Mostar turut tampil sebagai artis jemputan.

Teruskan menonton Pencetus Ummah 2015 minggu hadapan yang manampilkan 10 lagi peserta bersaing.

Teks oleh Helmi Zainalabidin


Artikel Berkaitan