Super Spontan All Stars: Kurangkan Merapu, Fokus Pada Topik - Tauke Jambu

26 Oktober 2015. 2.56 PM
5,926
Hiburan
Super Spontan All Stars: Kurangkan Merapu, Fokus Pada  Topik - Tauke Jambu

Pelawak Tauke Jambu mengakui kini lebih fokus dan sentiasa cuba memperbaiki pengisian lawak yang dibawa sepanjang beraksi di program Super Spontan All Stars.

Menurut Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri  Bin Zakaria, keinginan untuk bergelar juara tetap ada tetapi meletakkan harapan yang tinggi di pentas akhir kelak.

“Keinginan nak menang tu mesti ada tetapi mampukah saya? Pada saya kita boleh buat sehabis baik, yang menilai dan mengundi adalah penonton. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi sebab itu jika dapat nombor enam ke, saya tetap rasa seronok.

“Cuma tahun ini saya lebih fokus setiap kali topik diberikan dan kurangkan merapu. Saya cuba perkemaskan pengisian lawak supaya tidak lari dari apa yang penonton mahu,” jawab Tauke kepada Astro Gempak.

Jelas Tauke lagi, sebagai persediaan di pentas akhir Super Spontan All Stars kelak dia akan menonton semula video persembahannya sebelum ini untuk melihat setiap kelemahan yang harus diperbaiki.

“Untuk persediaan pentas akhir, saya kena tengok balik video-video persembahan saya untuk kaji apa kelemahan saya. Sebab tahun ini adalah lebih 40 permainan yang kami harungi di Super Spontan. Jadi dari situ kita boleh Nampak aypa yang perlu diperbaiki,” ujar Tauke lagi.

Dalam pada itu Tauke mengakui Zizan Razak dan Johan adalah dua finalis yang cukup kuat dan mampu untuk bergelar juara Super Spontan All Stars.

“Mereka berdua memang ada banyak faktor yang kuat untuk bergelar juara. Kita dapat lihat menerusi persembahan Zizan dan Johan yang sangat spontan serta kekuatan peminat mereka di luar sana. Ada peserta yang kelakar dan hebat, tetapi tiada penyokong akhirnya terpaksa disingkirkan.

“Banyak aspek sebenarnya yang membolehkan seseorang itu bergelar juara dan mungkin Zizan dan Johan mempunyai kelebihan tersendiri,” jelas Tauke mengakhiri perbualan.

Pentas akhir Super Spontan All Stars menyaksikan Zizan Razak, Johan, Achey Bocey, Tauke dan Yus Jambu untuk merebut gelaran juara Super Spontan All Stars yang akan berlangsung pada 30 Oktober ini.

Jangan lupa untuk terus menonton pentas akhir program Super Spontan All Stars pada Jumaat minggu hadapan di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Super Spontan All Stars dihoskan oleh Datuk AC Mizal sementara Afdlin Shauki, Ray dan Haniff beraksi sebagai pengulas.

Layari www.superspontanallstars.com.my untuk info lanjut!

Teks oleh: Khalid Rahman


Artikel Berkaitan


Komen