Pelawak Johan Tolak Wang Undian, Takut Peminat Letak Harapan Tinggi

29 Oktober 2015. 12.08 PM
8,678
Zon Lawak
Pelawak Johan Tolak Wang Undian, Takut Peminat Letak Harapan Tinggi

Pelawak Johan mengakui tidak mahu peminatnya menghabiskan wang semata-mata untuk mengundinya di pentas akhir Super Spontan All Stars.

Menurut Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Bin Mohamad Aziz, tindakan tersebut membuatkan peminat meletakkan harapan yang tinggi supaya dia menjuarai program Super Spontanbuat kali kedua.

“Saya kenal peminat-peminat saya. Sebab itu sebelum ini saya ada buat hari keluarga bersama peminat untuk menghargai mereka. Kebanyakan peminat saya orang tua, kanak-kanak dan bukan orang yang berada.

“Jadi saya tidak mahu mereka habis duit untuk saya. Saya lebih suka mereka datang untuk memberi sokongan dan menyaksikan persembahan saya sudah memadai.

“Nanti saya takut bila peminat melaburkan duit untuk mengundi, mereka menaruh harapan untuk saya menjuarai Super Spontan All Stars. Jika saya menjuarai Super Spontan All Stars itu satu bonus,” ujar Johan kepada Astro Gempak.

Jelas Johan lagi, peminat kini sudah bijak untuk membuat pilihan atau undian bagi memilih siapa yang lebih layak untuk bergelar juara.

“Siapa-siapa pun boleh menang di pentas akhir nanti. Jika lihat kepada pilihan peminat, mereka kini lebih bijak untuk menentukan siapa lebih layak untuk bergelar juara. Semuanya bergantung kepada prestasi finalis itu sendiri,” kata Johan.

Tambah Johan dia tidak mahu ‘play safe’ dan bersedia untuk bermain bersungguh-sungguh di pentas akhir demi kepuasan para penonton dan peminatnya.

Dalam pada itu, Johan tidak menafikan peserta ‘favourite’ yang mampu bergelar juara di pentas akhir Super Spontan All Stars ialah Zizan Razak kerana faktor peminat dan pengalaman.

“Semua orang boleh menang  tetapi jika diberi pilihan Zizan Razak semestinya peserta ‘favourite’ kerana faktor sokongan peminat dan pengalaman.

“Zizan pernah menjuarai Super Spontan di musim pertama dan dia tahu bagaimana mahu beri persembahan yang cukup bagus di pentas akhir,” jawab Johan mengakhiri perbualan.

Pentas akhir Super Spontan All Stars bakal menyaksikan saingan hebat oleh Zizan Razak, Johan, Achey Bocey, Tauke dan Yus Jambu untuk merebut gelaran juara yang akan berlangsung pada 30 Oktober di Dewan Raja Muda Musa, Selangor.

Super Spontan All Stars dihoskan oleh Datuk AC Mizal sementara Afdlin Shauki, Ray dan Haniff beraksi sebagai pengulas.

Layari www.superspontanallstars.com.my untuk info lanjut!

Teks Oleh: Khalid Rahman


Artikel Berkaitan


Komen