Oh My English! Class of 2015 kembali menemui penonton November ini dengan jalan cerita lebih menarik berkisarkan tentang persahabatan, tahun terakhir persekolahan dan masa depan.

Menerusi 10 episod kali ini, penonton setia Oh My English! Class of 2015 akan dapat menyaksikan ikatan persahabatan yang dibina oleh pelajar kelas 5 Merah semakin utuh apabila masing-masing mula berasa sedih untuk menamatkan sesi persekolahan.

Selain itu, siri popular ini juga turut membariskan selebriti ternama seperti Shaheizy Sam, Cristina Suzanne, Amber Chia, atlet gimnastik Malaysia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA, Farah Ann Abdul Hadi dan juga pemain bola sepak Tottenham Hotspur, Eric Dier.

Lebih menarik lagi, Sasha Saidin akan membuat kemunculan istimewa sebagai kakak Mr Middleton yang sanggup datang dari United Kingdom untuk melawatnya!

Episod bermula dengan kisah pelajar-pelajar 5 Merah merindui guru Bahasa Inggeris kegemaran mereka Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) yang memilih untuk mengajar dikawasan terpencil iaitu SK Dalam Ayer.

Bukan itu sahaja, See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran), Jojie (Nadiya Nisaa), Zack (Juzzthin) dan Taylor (Juliana Evans) juga terpaksa mempelajari Bahasa Inggeris dengan guru baru iaitu Miss Nurul (Cristina Suzanne).

Dalam pada proses menyesuaikan diri, mereka juga berada dalam dilema untuk membuat keputusan memilih karier masing-masing.

Sementara itu, guru-guru di SMK Ayer Dalam juga berhadapan dengan cabaran dan perjalanan penuh emosi mereka yang tersendiri.

Apakah perasaan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) apabila mengetahui Mr Middleton akan terus mengajar di SK Dalam Ayer? Bolehkah Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad) menyesuaikan diri dengan Sarjan (Rahim R2) selepas perkahwinan mereka?

Benarkah Miss Soo dilamun cinta dengan kehadiran jejaka tampan lagi budiman lakonan Shaheizy Sam yang buat pertama kalinya tampil dalam Oh My English?

Saksikan Oh My English! Class of 2015 yang akan bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Ahad, 6.30 petang, mulai 1 November 2015.

Teks Oleh: Mya Amri